Moga tiada kontroversi lagi selepas ini – Janna Nick

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pentas Malam Kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), malam kelmarin, bukan sahaja menjadi saksi kejayaan Janna Nick menjulang trofi Bintang Paling Popular, malah tempatnya meluahkan perasaan yang lama terbuku di hati.

Barangkali akibat tak tertanggung beban emosi yang bersarang dalam jiwa berikutan sering menjadi bahan kecaman netizen, mendorong Janna memutuskan memperlahankan kerjaya seni lalu memilih untuk aktif di belakang tabir.

“Terlalu banyak kontroversi berlaku membabitkan saya tahun ini. Apa sahaja yang dilakukan semuanya tidak kena di mata netizen.

“Apa sahaja yang saya cakap, lakukan serta cara saya berpakaian pasti menjadi bahan perdebatan mereka dalam media sosial.

“Situasi ini membuatkan saya tidak menjadi diri saya sendiri. Jujurnya, memang sukar untuk menjadi Janna Nick kerana perlu berpura-pura gembira dan ceria seolah-olah tiada masalah, walhal hakikatnya, saya tidak seperti itu.

“Keadaan ini sangat membebankan hingga saya memutuskan untuk tidak mahu lagi berada di bawah limpahan glamor dan lebih selesa di belakang tabir iaitu aktif dalam bidang pengarahan dan penerbitan.

“Hasrat ini sebenarnya sudah saya luahkan kepada kelab peminat iaitu Janna Nickers. Tetapi mungkin disebabkan mereka dapat merasakan kesedihan dan kekecewaan saya membuatkan mereka menghadiahkan saya dengan kemenangan ini,” katanya kepada BH Online.

Mengulas perasaan menggenggam trofi Bintang Paling Popular yang menjadi idaman ramai, Janna atau nama sebenar, Nurul Jannah Muner mengaku gelaran itu cukup menakutkannya.

“Bukan mudah untuk menjadi selebriti kerana tanggungjawabnya cukup besar. Hidup kita sering menjadi perhatian dan hilang hak privasi dalam menjalani kehidupan seharian.

“Malah, kecaman dan kata-kata nista bagaikan makanan buat kami. Lagipun, saya bukanlah artis yang disayangi.

“Disebabkan itu, saya angkat topi pada artis ‘senior’ atau mana-mana selebriti yang mampu berdepan dugaan itu.

“Bagaimanapun, peluang dan kepercayaan yang diberi ini tidak akan saya sia-siakan. Jika selama ini ada kelakuan saya yang tidak menyenangkan, saya minta maaf.

“Moga tiada lagi kontroversi membabitkan saya selepas ini. Saya mahu buka buku baharu dan mahu sebarkan lebih banyak perkara positif kepada masyarakat,” janji pelakon Syurga Nur dan Cari Aku Di Syurga Ini.

Menyoroti karier gadis kelahiran Alor Setar, Kedah ini, Janna menjadi antara selebriti yang tidak pernah lekang dihimpit kontroversi.

Ada sahaja cerita negatif menghambat dirinya, baik dalam aspek kerjaya, peribadi mahupun imej. Semua ini mengheret bekas pengacara Melodi itu dalam kemelut tidak berkesudahan.

Mei lalu, Janna berkongsi menjalani rawatan dengan pakar psikiatri untuk mengubati gangguan bipolar disorder.

Dalam satu lagi pengakuan mengejutkan, Janna mendedahkan pernah dua kali cuba membunuh diri sepanjang hidupnya.

Terbaru, Janna terguris dilabelkan ‘orang gila’ oleh warga netizen apabila berkongsi sering mengalami situasi otak yang didakwa sangat ‘bising’ kerana mendengar lima suara sepanjang hari.

Pada malam kemuncak ABPBH 34 Janna diisytiharkan Bintang Paling Popular ABPBH 34 dengan undian sebanyak 86,374,777.

 

Memperoleh 86,374,777 undi, Janna diisytiharkan Bintang Paling Popular ABPBH 34 pada Malam Kemuncak ABPBH 34 di WTC KL, kelmarin. Foto NSTP
Memperoleh 86,374,777 undi, Janna diisytiharkan Bintang Paling Popular ABPBH 34 pada Malam Kemuncak ABPBH 34 di WTC KL, kelmarin. Foto NSTP

 

Selain trofi, Janna menerima sebuah kereta dan telefon pintar Xiaomi 11T Pro (8GB + 256GB) bernilai RM2,099 sumbangan penaja utama ABPBH 34, Xiaomi.

Janna meninggalkan calon ‘favourite’ seperti penyandang trofi sama tahun lalu, Haqiem Rusli dan artis lain seperti Siti Nordiana, Khai Bahar, Siti Saleha serta Ben Amir.

Selain trofi utama, pelakon, pengacara, penyanyi dan pengarah popular ini membolot trofi Pelakon Filem Wanita Popular dan Pengacara TV Popular.

Diusik pertanyaan apakah trofi itu menjadi lesen untuknya menaikkan harga atau kadar bayaran, Janna berkata, perkara itu tidak akan dilakukan kerana cukup realistik dengan situasi industri kreatif sekarang.

“Pada era pandemik COVID-19, kita semua tahu ekonomi tidak begitu memberangsangkan. Sebagai pemilik syarikat produksi, saya faham situasi dialami penerbit.

“Insya-Allah, harga saya masih lagi sama seperti sebelum ini,” katanya memberi jaminan.

Pada malam itu, Janna tidak keseorangan sebaliknya dia ditemani kekasihnya, Dini Azan Schatzmann yang juga bertindak sebagai jurufoto peribadinya.

Menjawab pertanyaan apakah perancangan memperlahankan kerjaya seni ada kaitan dengan rancang mereka melangkah ke jenjang pelamin, penyanyi yang popular dengan lagu Mungkin Saja ini menafikan perkara itu.

“Hasrat saya untuk mendalami bidang pengarahan dan penerbitan tiada kaitan dengan urusan mahu mendirikan rumah tangga.

“Walaupun fokus saya sudah beralih arah ke belakang tabir, namun, karier Dini baru hendak bermula.

“Lagipun keluarga kami bukanlah orang berada. Sudah semestinya fokus kami adalah untuk menstabilkan ekonomi terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

“Bukan mudah untuk membina keluarga kerana ia memerlukan perhatian yang lebih terutama jika kami sudah mempunyai anak.

“Buat masa ini saya masih tidak nampak saya ada masa untuk fokus kepada perkara itu,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat