KUALA LUMPUR – Pas Perlis menegaskan bahawa parti Islam itu tidak akan menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan individu-individu yang berasal daripada Parti Bersatu yang terlibat dengan pengkhianatan kepada Pas kemudian keluar parti Bersatu dan kini menyertai Parti Wawasan, selagi isu pengkhianatan tersebut belum diselesaikan oleh pihak parti Bersatu.
Pesuruhjaya Pas Perlis Ahmad Ali berkata, pendirian ini diambil sebagai tanda menghormati prinsip amanah serta bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti perjuangan politik.
”Pas Perlis berpandangan bahawa pihak parti Bersatu perlu mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti sebagai dalang kepada pengkhianatan tersebut, sekiranya terdapat asas dan melalui proses yang sewajarnya.
“Selagi tiada penyelesaian atau tindakan yang jelas terhadap perkara tersebut, Pas Perlis berpendirian bahawa kerjasama politik dengan kumpulan berkenaan tidak wajar dipertimbangkan.
“Pas Perlis kekal komited untuk memperkukuh kesatuan dalam kalangan rakan-rakan gabungan yang benar-benar ikhlas mempertahankan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan negara.
“Pas Perlis akan terus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam dan membuat setiap keputusan politik berdasarkan maslahah, keadilan serta kepentingan rakyat,” tegasnya.
Ahmad memberitahu lagi, Pas Perlis sentiasa berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Islam yang menekankan amanah, kejujuran dan kesetiaan dalam setiap bentuk kerjasama politik.
“Pas Perlis berpandangan setiap perjanjian antara parti gabungan perlulah dipatuhi dan dijalankan sebaiknya kerana perlanggaran kepada sebarang perjanjian jelas menunjukkan pengkhianatan dan ketidakharmonian yang berlaku.
“Sehubungan itu, Pas Perlis berpandangan bahawa setiap isu yang melibatkan pengkhianatan terhadap perjuangan hendaklah ditangani secara bertanggungjawab dan tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.


