KUALA LUMPUR – Operasi Network School di Forest City di Johor Bahru yang mencetuskan kontroversi ketika ini mengundang kebimbangan rakyat Malaysia kerana didakwa boleh memberi ancaman kepada Selat Melaka.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, ini kerana selat berkenaan menjadi laluan antarabangsa.
“Saya ingin bertanya kepada Timbalan Menteri, adakah Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Digital dan lain-lain menyedari bahaya dan ancaman kepada keselamatan negara.
“Apabila pakar-pakar digital, pempengaruh yang bertaraf global yang mempunyai hubungan rapat dengan negara haram Israel dan mempunyai kaitan rapat dengan agensi Mossad dari sumber yang saya dimaklumkan menggunakan Network School.
“Bagi tujuan melatih dan mengumpul data dan rekrut yang pada akhirnya Forest City sebagai pusat mereka yang terletak di Selat Melaka.
“Ada kemungkinan akhirnya akan mengancam Selat Melaka sebagai laluan antarabangsa secara khusus dan keselamatan negara secara umumnya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, lapor Sinar Harian pada Rabu.
Network School ialah sebuah komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian yang dilancarkan pada 2024 oleh pelabur teknologi, Balaji Srinivasan.
Komuniti ini menyasarkan golongan yang digelar ltechno-optimist’ dan mengenakan bayaran sebanyak AS$1,500 (RM6,118.50) sebulan untuk penginapan, makanan serta perkhidmatan lain termasuk akses ke gimnasium.
Premis itu mula menjadi tumpuan ketika tempoh pilihan raya negeri Johor selepas muncul dakwaan di media sosial bahawa warga Israel yang menggunakan pasport kewarganegaraan kedua mereka adalah antara individu yang tinggal di komuniti tersebut.
Susulan itu, Jabatan Imigresen, pada Selasa menjalankan naziran terhadap sebuah komuniti antarabangsa berkenaan membabitkan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata hasil semakan awal mendapati semua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa.


