KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru selesai memperlihat apabila orang Melayu bersatu, kekuatan politik akan kembali kepada kita.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apabila orang Melayu bersatu dan mempunyai kekuatan politik, ia memberi keyakinan kepada mereka untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya tanpa mempertikai hak-hak kaum lain.
“Inilah cara yang kita pegang sejak dari kita merdeka dan ianya telah berjaya memakmurkan orang Melayu dan kaum-kaum lain.
“Kerana itu Melayu perlu bersatu dan memperkukuh kekuatan politik mereka.
“Hanya dengan cara ini tanah air kita akan kekal hak kita,” tegas beliau.
Walaupun bentuk kerjasama masih samar-samar dari segi bentuk dan ikatan, Dr Mahathir berkata, ianya perlu kita terima sebagai satu langkah ke arah keberkesanan untuk memperkukuhkan kekuatan politik orang Melayu.
“Tetapi perlu kita ingat bahawa penyatuan ini yang membawa kepada kekuatan politik bukan untuk mempertahankan kebatilan atau melakukan perkara-perkara buruk.
“Ianya harus diguna untuk mengangkat martabat orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan tanah air kita.
“Ia juga bukan mencari kekuatan untuk menekan atau menidakkan hak serta kepentingan kaum lain malah sebaliknya,” jelasnya.



