Umno N. Sembilan berbesar hati jika Ismail Lasim kekal MB, tetapi perlu selesaikan konflik

KUALA LUMPUR – Umno Negeri Sembilan berbesar hati sekiranya Datuk Seri Ismail Lasim terus kekal sebagai Menteri Besar, namun beliau perlu menyelesaikan segala isu dan konflik berbangkit di negeri itu bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.

Ahli Parlimen Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kemelut yang melanda negeri itu diselesaikan segera, tanpa menjejaskan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Umno Bahagian Tampin itu berkata, penyelesaian segera amat penting memandangkan kerajaan negeri perlu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), khususnya bagi membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan.

“Sekiranya beliau dipilih semula, kita juga bersyukur dan berharap beliau dapat menyelesaikan segala isu berkaitan di Negeri Sembilan, khususnya bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat berjalan dengan baik.

“Pada masa sama, perkara ini perlu disegerakan kerana kita perlu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), khususnya bagi membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan,” katanya menurut BH pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media di Dewan Rakyat.

Isam berkata, sidang DUN perlu diadakan sebelum memasuki tahun depan kerana kegagalan berbuat demikian sehingga Februari boleh menyebabkan DUN terbubar dengan sendiri.

“Kita perlu melaksanakannya untuk tahun ini dan sebelum memasuki tahun depan. Jika sehingga Februari masih tidak bersidang, DUN boleh terbubar dengan sendiri,” katanya.

Mengulas perkembangan kedudukan Ismail, beliau berkata Umno Negeri Sembilan masih menunggu keputusan pihak istana selepas Umno Pusat menghantar surat atau warkah berhubung perkara berkenaan.

“Saya dapat maklum, surat berkenaan sudah dihantar kepada pihak istana,” katanya.

Beberapa hari lalu, timbul desas-desus Ismail akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan kedudukan itu bakal digantikan calon lain.

Isam berkata, pihaknya menghormati apa juga keputusan yang bakal dibuat dan tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung perkembangan itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat