KUALA LUMPUR – Sindiket penyeludupan etnik Rohingya dikesan mengubah lokasi pendaratan dari kawasan utara Langkawi ke sekitar perairan Kerpan, Kuala Kedah, Yan hingga Kuala Muda bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, perubahan taktik itu dilakukan selepas kawalan keselamatan di kawasan pendaratan utama di Langkawi dipertingkatkan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dan agensi penguatkuasaan lain.
Menurutnya, migran dipercayai diseludup masuk menggunakan bot kecil yang hanya memuatkan kira-kira 10 orang bagi setiap perjalanan.
“Apabila kita memperketatkan kawalan di kawasan pendaratan utama di Langkawi bersama PGA dan agensi penguatkuasaan lain, mereka (sindiket) mengubah taktik.
“Dulu mereka banyak mendarat di utara Langkawi seperti Teluk Ewa dan Teluk Datai, sekarang mereka menggunakan bot kecil dan memilih lokasi pendaratan berbeza bagi mengelak dikesan,” katanya memetik Kosmo! di Alor Setar pada Rabu.
Beliau berkata, kawalan 24 jam di 17 lokasi selain rondaan statik dan bermotosikal membuahkan hasil apabila tiada lagi rekod pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Langkawi sejak dua bulan lalu.
Bagaimanapun, katanya, polis percaya sindiket akan terus mengubah modus operandi dari semasa ke semasa bagi mengelak ditumpaskan.
Adzli berkata, hasil risikan turut mendapati sindiket masih menggunakan khidmat segelintir nelayan tempatan yang dipercayai menerima upah bagi membantu membawa masuk migran.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan komuniti nelayan supaya tidak bersekongkol dengan sindiket penyeludupan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersubahat.
Sementara itu, beliau berkata, majoriti tekong yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan penyeludupan PATI termasuk Rohingya adalah warga tempatan yang dipercayai menjadi dalang kepada sindiket berkenaan.
Katanya, seramai 25 tekong warga tempatan ditahan pada 2023, diikuti 25 orang pada 2024 sebelum meningkat kepada 40 orang pada 2025, manakala setakat tahun ini sahaja 37 lagi ditahan.Waktu & Kalendar
“Secara keseluruhannya, polis menahan 25 tekong bersama 125 migran pada 2023, diikuti 44 tekong dan 171 migran pada 2024, manakala 47 tekong bersama 222 migran pada 2025.
“Setakat tahun ini pula, seramai 37 tekong termasuk seorang bekas polis dan tiga anggota tentera serta 246 migran berjaya ditahan,” jelasnya.



