KUALA LUMPUR – Jasa, pengorbanan dan sumbangan Datuk Hashim Jasin sepanjang sedekad menggalas amanah sebagai Mursyidul Am Pas dari 2016 hingga 2026 terus mendapat penghargaan Majlis Syura Ulama (MSU) Pas.
Majlis Syura Ulama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hashim atas kepimpinan dan khidmat bakti beliau dalam membimbing perjuangan parti, memelihara kesatuan jemaah serta memastikan gerakan Pas terus berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah.
Setiausaha MSU PAS sesi 2026-2030 Mohd Asri Mat Daud berkata, sepanjang 10 tahun kepimpinan Hashim, keluasan ilmu, keteguhan prinsip serta kewibawaan beliau dalam memberikan panduan menjadi pedoman berharga kepada kepimpinan dan seluruh ahli Pas.
“Ketekunan beliau membimbing jemaah, memelihara kesatuan saf serta meneguhkan perjuangan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah akan sentiasa dikenang dengan penuh penghormatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sumbangan Hashim bukan sahaja dihargai dari sudut kepimpinan, malah pengorbanan dan kesungguhannya dalam melaksanakan amanah sepanjang tempoh berkenaan turut mendapat pengiktirafan MSU Pas.
Dalam perkembangan sama, MSU Pas turut merakamkan penghargaan kepada mantan Setiausahanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh atas khidmat bakti dan komitmen sepanjang menjalankan tanggungjawab.
Sementara itu, MSU PAS berharap seluruh ahli parti mendoakan kepimpinan baharu bagi sesi 2026-2030 yang diterajui Datuk Ahmad Yakob sebagai Mursyidul Am, dibantu Datuk Dr Mahfodz Mohamed sebagai Timbalan Mursyidul Am.
MSU PAS turut berharap kepimpinan baharu itu diberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keikhlasan dalam meneruskan amanah serta tanggungjawab yang dipikul.



