Isu Akademik, PNB Tentukan Kedudukan Abdul Jalil Rasheed Dalam Masa Terdekat?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Rasheed dipercayai telah dipanggil oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) baru-baru ini berhubung kelayakan akademiknya.

Difahamkan Jalil dikehendaki memberi penjelasan tentang kemusykilan berhubung kelayakan akademiknya yang dijadikan maklumat profail sebagai pengurusan tertinggi di PNB dan anak-anak syarikat PNB.

MalaysiaGazette juga difahamkan pertemuan SC dan Abdul Jalil itu berlangsung pada 11 Jun lalu.

Dipercayai rentetan daripada itu, Lembaga Pengarah PNB akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan kedudukan Abdul Jalil dan sumber terdekat MalaysiaGazette memberitahu beliau kini telah ‘dibekukan’ daripada menjalani tugas.

PNB adalah institusi pelaburan terbesar di Malaysia yang menguruskan Amanah Saham Nasional Berhad dan memiliki beratus-ratus pelaburan dalam syarikat-syarikat tempatan dan multinasional.

Antaranya Malayan Banking Berhad, Sime Darby Berhad, MNRB Holdings Berhad dan UMW Holdings Berhad.

Berdasarkan maklumat profail PNB, Jalil merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (kepujian) dalam perakaunan dan kewangan dari London School of Economics and Political Science (LSE), United Kingdom.

Kenyataan itu adalah sama sebagaimana siaran media mengenai pelantikan Jalil sebagai peneraju baharu PNB pada 28 Ogos 2019.

Maklumat yang sama turut dinyatakan dalam profail Jalil sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Prolintas dan Sapura Energy Berhad.

Bagaimanapun, difahamkan, Jalil disahkan telah mengikuti pengajian sebagai penuntut luar dan lulus pengajian di University of London (UoL) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dengan kelas ketiga kepujian dalam Perakaunan dan Kewangan pada 1 Ogos 2003.

Nota: Pelantikan Abdul Jalil Rasheed sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif PNB pada 2019 lalu pernah dipertikaikan beberapa pihak yang mendakwa beliau adalah cucu saudara kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pelantikannya disifatkan sebagai lantikan politik yang tidak berkaliber.

Dalam sijil tersebut tertera UoL adalah sekutu dengan London School of Economics and Political Science (LSE).

Jalil memperoleh ijazah tersebut selepas mendapat Diploma Ekonomi di universiti yang sama pada 1 Ogos 2001.

Malah, profail akademik dalam biografinya di Invesco turut menyatakan beliau mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perakaunan dan Kewangan, LSE.

Daripada maklumat laman web LSE menyatakan sekolah tersebut menyediakan hala tuju peringkat ijazah dan diploma bagi kursus-kursus ekonomi, pengurusan kewangan dan sains sosial bagi penuntut-penuntutnya.

Bagaimanapun, penuntut-penuntut yang mendaftarkan diri untuk program tersebut dengan UoL, mereka akan dianugerahkan dengan ijazah UoL apabila tamat pengajian masing-masing.

Jalil dilantik menerajui PNB pada 1 Oktober 2019 selepas khidmat Datuk Abdul Rahman Ahmad dihentikan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Pelantikan Jalil pada awalnya menjadi tanda tanya kerana pertama beliau tidak dikenali.

Sebelum dilantik menerajui PNB, Jalil merupakan Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan di syarikat Invesco, sebuah firma pelaburan global utama.

Syarikat pelaburan ini mengurus lebih AS$1.2 trilion (RM5.05 trilion) dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25 negara.

Malah, Tun Dr Mahathir Mohamad juga ketika ditanya mengenai pelantikan itu memaklumkan beliau tidak tahu menahu dan tidak dimaklumkan oleh Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz megenai perkara tersebut.

“PNB di bawah Zeti. Zeti tidak maklumkan kepada saya pun,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB).

YPB adalah pemilik PNB.

Namun, Zeti mengesahkan Dr Mahathir tahu mengenai pelantikan Jalil.

Pengerusi PNB itu berkata, keputusan untuk melantik Jalil dibuat secara muafakat dan melalui proses yang sangat ketat dan telus.

“Tidak benar (PM tidak tahu mengenai pelantikan Jalil). PNB menggunapakai proses urus tadbir sangat ketat dan teliti bermula dari proses pencalonan lagi.

“Kami membentangkan (nama calon) kepada ahli lembaga pengarah dan sebelum membentangkannya kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Tegas Zeti lagi, pelantikan Jalil turut mendapat kelulusan SC.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat