AS Kecam Pesawat Russia Pintas dan Langgar Dron MQ-9 Hingga Terhempas

- Advertisement -

PARIS – Amerika Syarikat (AS) mendakwa jet pejuang Russia memintas dan melanggar sebuah dron pengawasan negara itu sehingga menyebabkannya terhempas di Laut Hitam.

Malah, tentera AS menyelar dan menyifatkan cara pelanggaran itu dibuat secara melulu.

Komander Eropah AS mendakwa dua jet pejuang Su-27 Russia memintas MQ-9 Reaper di ruang udara antarabangsa dan sebuah lagi pesawat perang melanggar kipas dron tersebut.

“Beberapa kali sebelum pelanggaran, jet Su-27 membuang bahan api dan terbang di hadapan MQ-9 dengan cara melulu, tidak menepati standard alam sekitar dan tidak profesional,” jelasnya.

Jurucakap Pentagon, Brigidier Jeneral Patrick Ryder berkata, insiden itu berlaku pada pukul 7.03 pagi (waktu Eropah Tengah) di ruang udara antarabangsa selepas jet Russia tersebut terbang di sekitar dron berkenaan selama 30 hingga 40 minit.

Ryder memaklumkan tiada sebarang komunikasi dikesan antara pesawat terbabit sebelum pelanggaran itu.

Dalam pada itu, Komander Tentera Udara AS-Eropah dan Tentera Udara Afrika, Jeneral James B. Hecker berkata, AS menggunakan MQ-9 Reaper untuk tujuan pengawasan dan serangan.

Kata beliau, dron itu sudah lama menjalankan operasi di ruang udara di Laut Hitam bagi mengawasi pasukan tentera laut Russia.

“MQ-9 sedang menjalankan operasi rutin di ruang udara antarabangsa apabila ia dipintas dan dilanggar oleh jet pejuang Russia, menyebabkan terhempas dan musnah sepenuhnya.

“Malah, tindakan tidak selamat dan tidak profesional dilakukan oleh Russia hampir menyebabkan kedua-dua pesawat terhempas.

“Pesawat AS dan sekutu akan terus melakukan operasi di ruang udara antarabangsa dan kami menggesa Russia menjalankan rutin dengan profesional dan selamat,” katanya.

Terdahulu, Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby dalam satu sidang akhbar memaklumkan tindakan pemintasan Russia di Laut Hitam adalah perkara biasa.

Namun, katanya, tindakan pemintasan kali ini perlu diberi perhatian memandangkan cara Russia mendatangkan risiko bahaya dan tidak profesional.

Diplomat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussel mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya tidak menjangkakan isu berkenaan akan terus mencetuskan konfrontasi selanjutnya.

Jabatan Negara AS memaklumkan pihaknya sudah memanggil Duta Russia untuk menyatakan bantahan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Russia menafikan jet pejuang negara itu menjadi punca dron AS terhempas.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, pihaknya mengesan MQ-9 milik AS terbang di atas perairan Laut Hitam berhampiran semenanjung Crimea menuju ke arah sempadan negara Russia, menyebabkan jet pejuangnya bertindak memintas dron tersebut.

“Akibat pergerakan mendadak, dron MQ-9 terbang tanpa panduan dan hilang altitud lalu terhempas ke laut.

“Jet pejuang Russia tidak menggunakan senjata mahupun tidak berkomunikasi langsung dengan dron itu dan ia pulang ke pangkalan dengan selamat,” jelas kementerian itu. – Agensi

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,393FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat