“Bakti Disemai Bukti Dituai” Felda Sebuah Legasi Tun Razak

- Advertisement -

Oleh: Zahari Affendi bin Abdul Kadir

“Kelebihan dan keuntungan menjadi Generasi Felda”.

Semasa saya menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dahulu, salah satu tajuk kajian saya adalah berkenaan Felda. Apa yang saya temui adalah tiada mana-mana institusi atau agensi pembangunan kerajaan yang sama seperti Felda di dunia ini.

Felda adalah satu-satunya di dunia. Tidak akan kita jumpa institusi pembangunan berpusat sebegini di negara lain yang menyediakan tanah perladangan (seluas 8 ekar hingga 14 ekar) beserta suku ekar tanah lagi bagi tapak rumah untuk seorang peserta rancangan Felda. Hanya di Malaysia sahaja!

Untuk rekod, di Malaysia seluas lebih kurang 850,000.00 (Lapan Ratus Lima Puluh Ribu) hektar tanah telah diperuntukkan untuk program Felda sahaja.

Sehingga hari ini,mengikut data di Wikipedia jumlah peneroka Felda di seluruh negara sebanyak 112,635 orang peserta.

Sejarah Felda bermula melalui idea bernas Almarhum Tun Abdul Razak pada tahun 1955 melalui satu jawatankuasa yang akhirnya membentuk Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau juga dikenali sebagai Federal Development Authority (FELDA) secara rasmi di bawah Ordinan Kemajuan Tanah (Land Development Ordinance) 1956 pada 1 Julai 1956 untuk membantu taraf hidup rakyat Malaysia pada waktu itu keluar dari aras kemiskinan.

Jasa dan pembangunan Tun Abdul Razak ini sangat besar kepada warga Felda sehingga kini di mana terdapat usaha dari negara-negara lain yang cuba mengikuti model pembangunan Felda ini dalam membasmi kemiskinan di negara mereka seperti di Indonesia, Brazil dan Sri Lanka tetapi tidak ada satu pun yang mampu membangunkan rancangan mereka seperti yang telah berjaya dilakukan di Malaysia.

Felda telah berjaya membangunkan penempatan luar bandar dengan menyediakan kemudahan infrastruktur asas yang baik seperti jalanraya berturap, sekolah, klinik, balairaya, yang mengubah corak demografi rakyat negara ini pada ketika itu.

Apa yang membezakan Malaysia dengan negara lain adalah kejayaan Felda memberikan tapak rumah bersekali dengan tanah ladang kepada setiap peserta rancangannya. Sebab Itu geran ladang dengan geran rumah felda adalah berangkai, tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.

Kebanyakan program pembangunan di negara lain hanya mampu memberikan tapak ladang sahaja kepada pesertanya malah ada yang tidak diberikan geran hak milik langsung.

Contoh terdekat yang hampir sama dengan Felda yang saya temui adalah rancangan pembangunan dari negara Sri Lanka dikenali sebagai “Mahaweli Settlement Program” yang bertujuan membasmi kemiskinan rakyat dengan menghidupkan aktiviti pertanian di sepanjang sungai Mahaweli.

Peserta program ini akan diberikan satu tapak ladang (kebanyakannya padi) dan satu tapak rumah sekitar 5 ekar.

Walaubagaimanapun, mereka mempunyai masalah pewarisan yang jauh lebih komplikated dari Malaysia apabila banyak geran pemilikan masih belum diperolehi peserta program. Apabila berlaku kematian peserta program, hanya 3 nama waris sahaja boleh dimasukkan ke dalam geran.

Walaupun program ini telah dimulakan sejak tahun 1961 (lebih kurang seusia dengan Felda), tetapi kemajuan yang telah dikecapi oleh generasi Felda adalah jauh lebih baik dari generasi Mahaweli ini yang masih jauh ketinggalan ketika ini.

Program Mahaweli ini masih lagi berusaha untuk mencapai tujuan asas mereka iaitu membantu pesertanya keluar dari aras kemiskinan tidak seperti Felda yang telah berjaya membantu banyak warganya keluar dari aras kemiskinan.

Antara slogan Felda yang masih dalam ingatan adalah “Bakti Disemai Bukti Dituai….”

Tarikh 14 Januari 2021 adalah genap 45 tahun pemergian Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan Malaysia yang merupakan “arkitek” penting kejayaan Felda pada hari ini.

Marilah kita beramai-ramai menyedekahkan Al-Fatihah kepada roh Al Marhum atas segala jasa dan baktinya membantu kehidupan dan ekonomi warga Felda. -SuaraTV

*Penulis adalah Peguambela dan Peguamcara yang beramal di Tetuan Zahari Affendi & Partners dan merupakan anak jati Felda Sungai Koyan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat