Ahli Parlimen Sokong Ismail Sabri Kekal PM Hingga Akhir Penggal Parlimen 2023

- Advertisement -

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu terus diberi ruang mentadbir negara sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal Parlimen pada 2023.

Keperluan itu bersandarkan faktor Ahli Parlimen Bera itu mencapai beberapa kejayaan penting sepanjang tempoh 100 hari selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri bermula 21 Ogos tahun ini.

Demikian penegasan sokongan yang dizahirkan oleh Ahli Parlimen dari Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) hari ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman,
berkata antara kejayaan yang dicapai Perdana Menteri ialah sokongan majoriti dua pertiga untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sokongan Bajet 2022 dan memulihkan kembali ekonomi serta Rancangan Malaysia Ke-12.

“Itu menunjukkan kehebatan, kewibawaan dan kepimpinan seorang Perdana Menteri. Jadi kita ucapkan tahniah dan syabas kepada beliau dan daripada pihak backbenchers yang merupakan tulang belakang kepada kerajaan, menyokong penuh kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Mudah-mudahan beliau dapat terajui kerajaan sehingga habis penggal 2023, supaya keadaan terus stabil, terus mantap dan kukuh serta dapat sokongan semua pihak.

“Sebagaimana kita sedia maklum, bukan saja dari pihak kerajaan, pihak pembangkang juga, Pakatan Harapan pun telah berjanji dan menyokong kerajaan ini dan Perdana Menteri. Jadi kita ucap terima kasih kepada pembangkang. Ini adalah new politics, matured politics dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya, dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Antara yang turut serta dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas kejayaan mendapatkan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu ialah Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, beliau berharap sokongan terus diberikan kepada Perdana Menteri dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak dipercepatkan sebaliknya hanya dilaksanakan apabila tamat penggal 2023.

“Untuk selesaikan masalah rakyat, apa yang kita janji mesti ditunaikan. Sekarang ini baru 100 hari dan tak mungkin dalam 100 hari boleh tunaikan apa yang dijanjikan merangkumi pemulihan ekonomi, Covid-19.

“Kalau nak mempercepatkan pilihan raya, kena luluskan Akta Anti Lompat Parti terlebih dulu. Rakyat tidak mahu perkara ini (lompat parti) berlaku lagi dan kita ada lagi benda nak selesaikan seperti Undi 18, pendaftaran undi automatik.

“Saya sebagai penyokong kerajaan, pertama sekali saya beri sokongan kepada Perdana Menteri kita untuk beliau meneruskan (teraju kerajaan) sehingga tahun 2023 kerana rakyat mahu tahu beliau adalah pilihan untuk lima tahun atau satu penggal.

“Kita kena sokong Perdana Menteri sehingga habis penggal dan kemudian baru adakan pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus dari PAS, Mohd Khairuddin berkata, beliau yang mewakili parti itu turut menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, semua 18 ahli Parlimen parti berkenaan menyokong penuh Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

“Mewakili PAS, kami menyokong penuh kepemimpinan Yang Amat Berhormat (Ismail Sabri) yang berjaya membawa satu wadah kepimpinan Keluarga Malaysia sangat berjaya.

“Kita yakin banyak kita boleh laksanakan untuk kebaikan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan rantau. Kami berdiri penuh 18 orang (ahli Parlimen) bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sehingga akhir penggal, Insya-Allah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat