Kepentingan Inovasi dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana di Malaysia.

- Advertisement -

Oleh: Niza Afendi,

Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia) merupakan agensi penyelaras pusat yang menyelaraskan pelaksanaan program pembangunan bagi PKS. Bersangkutan dengan itu, definisi PKS pembuatan di Malaysia daripada SME Corp. Malaysia ialah jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 200 orang. Manakala bagi sektor perkhidmatan dan sektor lain, PKS didefinisikan sebagai jualan tahunan tidak melebihi RM20 juta atau bilangan pekerja sepenuh masa tidak melebihi 75 orang.

Definisi terperinci merangkumi kategori mikro, kecil dan sederhana pula adalah seperti: mikro (pembuatan dan perkhidmatan dan sektor lain) jualan tahunan kurang daripada RM300 ribu atau jumlah pekerja tidak melebihi lima orang. Diikuti dengan sektor kecil (pembuatan) jualan tahunan daripada RM300 ribu sehingga tidak melebihi RM15 juta atau jumlah pekerja dari lima ke 74 orang.

Bagi sektor perkhidmatan dan sektor lain pula, jualan tahunan antara RM300 ribu sehingga tidak melebih RM3 juta atau jumlah pekerja dari lima ke 29 orang. Bagi sektor pembuatan sederhana, jualan tahunan ialah bermula daripada RM15 juta sehingga RM50 juta atau jumlah pekerja dari 75 sehingga 200 orang. Untuk sektor perkhidmatan dan sektor lain, jualan tahunan adalah RM3 juta sehingga RM20 juta atau jumlah pekerja dari 30 sehingga 75 orang.

Firma kecil memberikan sumbangan besar terhadap inovasi teknologi dan pertumbuhan ekonomi.  Firma yang memberi tumpuan kepada inovasi mencapai bukan sahaja peningkatan daya saing tetapi juga dapat mengekalkan perusahaan mereka untuk jangka masa yang lebih lama. Pada masa kini, inovasi dianggap sebagai terpaling penting bagi persekitaran global yang kompetitif dan berdaya saing.

Walau bagaimanapun, penyelidik telah mengemukakan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempunyai inovasi dalam kapasiti dan potensi yang terhad berbanding dengan syarikat yang lebih besar. Disebabkan sumber, pelaburan dan pengetahuan yang terhad dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) menyumbang kepada salah satu sebab mengapa banyak projek inovasi PKS ditinggalkan atau ditangguhkan separuh jalan.

Sebaliknya, ada penyelidik yang berpendapat bahawa PKS lebih inovatif kerana sifatnya yang berlainan walaupun terhad dalam kapasiti inovasi dan sumber mereka.  Penyelidik mendapati bahawa PKS baru lebih banyak mendapat keuntungan daripada inovasi berbanding firma yang lebih matang disebabkan oleh ketahanan mereka untuk menerima perubahan dalam persekitaran atau industri.

Sejajar dengan ini, penyelidik menyarankan supaya firma kecil dapat bertindak balas dengan lebih cepat terhadap persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah, lebih berdaya tahan, dan semangat keusahawanan yang tinggi daripada pesaing mereka yang lebih besar. Firma kecil juga harus lebih bersedia untuk mengambil risiko, lebih cekap dalam menangani segala isu, mempunyai kelebihan dalam komunikasi tidak formal serta kurang birokrasi dalam pentadbiran.

Di samping itu, firma kecil kekurangan sumber manusia dan kewangan untuk R&D menyebabkan mereka tidak dapat mencapai skala ekonomi, mempunyai pasaran yang sempit, dan kurang daya tawar dengan pembekal serta pelanggan.  Ciri-ciri ini menimbulkan cabaran untuk proses inovasi produk dalam PKS.

Manakala firma yang lebih besar mempunyai kelebihan seperti kewangan yang kukuh, sumber manusia yang mencukupi untuk menjalankan penyelidikan, produk dan perkhidmatan dan pemasaran yang jitu, kuasa tawar menawar yang lebih besar dengan pembekal, pasaran global yang lebih luas, dan maklumat sumber rangkaian hubungan dengan pasaran teknologi yang unggul.

Dalam pada itu, firma besar juga mempunyai kelemahan termasuk kekurangan ketahanan dalaman, kurang bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam persekitaran perniagaan, komunikasi yang lebih formal dan karenah birokrasi, serta kurang kesediaan untuk mengambil risiko dan dinamisme keusahawanan berbanding firma yang lebih kecil.

Dapatan di atas menunjukkan betapa pentingnya inovasi dalam PKS, namun hanya terdapat sedikit kajian empirikal mengenai perkara ini terutamanya di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia. Negara berekonomi maju telah lama memupuk inovasi dalam PKS, tetapi percubaan ke arah tersebut masih kurang jelas atau setanding di kalangan negara-negara sedang membangun.

Selanjutnya, dilaporkan bahawa untuk PKS memulakan perniagaan dan mengekalkan kemajuan serta untuk bersaing di pasaran global yang lebih besar, adalah amat penting untuk melakukan penyelidikan mengenai PKS di negara-negara sedang membangun.  Perbahasan Schumpeterian mengenai firma besar atau kecil mana yang lebih cenderung berinovasi masih menjadi kontroversi sehingga hari ini.

Perbahasan mengenai perkara ini juga dapat dilihat di kalangan akademik dan mencetuskan kebimbangan antara pemilik dan pembuat dasar. Justeru, kepentingan inovasi dalam PKS harus diperakui dan difahami dengan jelas terutamanya istilah bagaimana inovasi produk PKS berkembang dalam konteks negara sedang membangun, khususnya Malaysia. Kepentingan pertumbuhan PKS dan kelestarian mereka tidak boleh diabaikan untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia terutama dalam persekitaran global yang kompetitif.

Penulis adalah Tutor Di Sekolah Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah Darul Aman

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat