Politik Tuntut Jawatan, Ugut Tak Patut Diulang, Utamakan Bantu Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR – Politik ugut mengugut, politik menuntut jawatan yang datang dan timbul secara tiba-tiba tidak seharusnya mewarnai arena politik negara.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya berkata, parti-parti politik perlu lebih realistik menilai keperluan semasa.

Tegas beliau, apa yang diperlukan ialah memulihkan ekonomi semasa dan juga kerajaan yang teguh dengan mandat rakyat bukannya menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Utamakan isu ekonomi rakyat, bukannya jawatan Timbalan Perdana Menteri,” bidas Zahid.

Menurut beliau, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memberikan kata putus mengenai pindaan Perlembagaan UMNO sebelum 16 Julai 2022 namun, pada masa yang sama dikhabarkan ada pula perjanjian antara Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dari parti Bersatu.

“Begitu banyak cerita sensasi, kontroversi dan fitnah, tohmahan serta provokasi yang dilakukan. Mungkin semuanya adalah kebiasaan sepak terajang politik.

“UMNO sebagai sebuah parti tertua negara dan sebuah parti terbesar orang Melayu telah melalui pelbagai konflik akan sentiasa lebih matang dan bijaksana dalam menguruskan apa-apa sahaja sepak terajang politik yang melibatkan UMNO,” kata Zahid dalam kenyataan pada Khamis.

Apa yang utama bagi beliau dan juga kepimpinan utama parti ialah kebersamaan dan ukhwah harus dijaga.

“Parti ini akan sentiasa matang dan tetap bersedia untuk mengemudi orang Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia, terutama sekali dalam menghadapi PRU-15 kelak.

” Dalam keadaan sekarang, politik yang dimainkan haruslah berpijak kepada realiti semasa rakyat. Politik ugut mengugut, politik menuntut jawatan yang datang dan timbul secara tiba-tiba tidak seharusnya mewarnai arena politik negara.

“… Yang wajar dituntut ialah mandat rakyat melalui pilihan raya bagi menangani ketidaktentuan politik agar kestabilan politik terhasil, dasar ekonomi yang lebih kukuh dan mampu menarik minat pelabur,” tegas Zahid.