KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM66 ribu bagi kesemua 317 rancangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21 juta.

Katanya, Felda telah melangkah jauh mencipta pelbagai kejayaan sejak 66 tahun penubuhannya maka memang amat bersesuaian tema sambutan iaitu ‘Kejayaan Dalam Keberkatan’.

“Saya juga mendengar keluh kesah peneroka tanaman getah yang runsing dengan harga getah yang rendah. Saya ingin tekankan, kerajaan dan Felda tidak pernah meminggirkan peneroka tanaman getah ini.

“Oleh yang demikian, saya berbesar hati mengumumkan bahawa Felda akan memperuntukkan RM6.1 juta dana pengurusan tahun 2022 bagi mengambil alih pengurusan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn Bhd.

“Dengan pengambil alihan ini, Felda dan FGV Rubber Industries telah mencapai persetujuan untuk mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram
getah kering dengan tambahan lagi sebanyak 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan,” katanya di Padang Awam Felda Rentam, Bera, Pahang pada Khamis.

Perdana Menteri memberitahu, keseluruhan pengurangan sebanyak 28 sen ini akan memberikan tambahan pendapatan RM11.2 juta bagi 10,707 peneroka tanaman getah.

Selain aspek perladangan, Ismail Sabri berkata, Felda turut memainkan peranan yang begitu besar dalam pembangunan generasi baharunya yang telah melangkau ke generasi keempat.

“Untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan dalam kalangan generasi baharu Felda untuk meningkatkan kapasiti perniagaan atau juga untuk memulakan perniagaan, Felda telah memperuntukkan dana pusingan sebanyak RM10 juta bagi tujuan ini.

“Pinjaman tanpa faedah ini diberikan dengan nilai minimum RM5,000 hingga maksimum RM20,000 mengikut pakej. Usahawan belia FELDA dari seluruh negara yang berminat
boleh mula membuat permohonan bermula pada bulan Ogos 2022,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, bagi memberi kemudahan kepada generasi baharu Felda untuk bermastautin di kawasan rancangan pula, Felda sebelum ini telah melaksanakan projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).

“Pada hari ini, saya ingin mengumumkan bahawa RM7.6 juta sewaan bulanan yang telah dibayar oleh 2,025 penghuni PGBF serta sewaan yang akan dikutip selepas ini dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF tersebut.

“Sebagai contoh, bayaran sewaan selama 36 bulan berjumlah RM10,800 akan dijadikan deposit lantas mengurangkan pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 kepada RM79,200 sahaja.

“Bagi baki 1,400 unit PGBF yang belum disiapkan dengan kos pembangunan keseluruhan RM204 juta, Felda akan meneruskan projek-projek ini melalui inisiatif pembiayaan
swasta di mana pihak pemaju akan menanggung kos pembinaan tanpa memerlukan dana daripada Felda,” ujarnya.

Projek rintis akan dilaksanakan di Felda Bukit Aping Timur dan Felda Pasak di Johor serta FELDA Chiku 5 di Kelantan.

Menurut Perdana Menteri lagi, penambahbaikan kepada model PGBF yang lebih mapan juga telah dilaksanakan dengan pengenalan inisiatif lot generasi Felda. Sehingga kini, sebanyak 8,670 unit lot generasi telah dikenal pasti termasuk 3,200 unit yang telah beliau umumkan di Johor pada bulan Mac lalu.

“Buat masa ini, inisiatif ini akan dilaksanakan di negeri Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Kelantan dan Kedah. Di Parlimen Bera ini sahaja, sebanyak
250 lot telah dikenal pasti iaitu di Felda Kumai dan Felda Triang 1.

“Bagi membantu generasi baharu dan memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah di lot generasi ini, saya mengumumkan dana berjumlah RM20 juta diperuntukkan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan yang bakal dibuat oleh generasi baharu Felda ini.

“Oleh itu, mereka tidak perlu menyediakan cagaran bagi membuat pinjaman tertakluk sehingga dana ini habis dimanfaatkan,” jelasnya.

Selain itu, kata Perdana Menteri lagi, kerajaan juga mengambil berat akan peningkatan mobiliti sosial warga Felda melalui pemerkasaan insiatif-inisiatif pendidikan.

“Selaras dengan itu, saya ingin mengumumkan pertukaran program Premier di MRSM Felda kepada Program Ulul Albab.

“Program Ulul Albab ini akan dilaksanakan bermula pada tahun akademik 2023 dan akan mengintegrasikan program pendidikan sedia ada dengan program aliran agama
termasuk tahfiz al-Quran.

“MRSM FELDA akan menjadi MRSM kelapan yang melaksanakan program ini dan bakal melahirkan generasi baharu Felda yang cemerlang dalam bidang profesional
yang berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut beliau, infrastruktur di kawasan Felda dilihat antara yang terbaik lantas menempatkan rancangan-rancangan Felda sebagai
komuniti contoh luar bandar.

Katanya, ini dapat dicapai melalui pelbagai dana dan inisiatif bagi menyediakan infrastruktur yang terbaik buat warga Felda.

“Saya juga ambil maklum kesungguhan dan komitmen yang dipamerkan oleh warga peneroka sekalian dalam memperindah rancangan masing-masing bagi meraih
anugerah yang paling dinanti-nantikan – Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF).

“Sebagai penghargaan atas kesungguhan warga FELDA ini, saya mengumumkan hadiah tempat pertama AKRF kini dinaikkan daripada RM500 ribu kepada RM1 juta.

“Semoga ini terus menjadi pembakar semangat kepada warga FELDA untuk menjaga keceriaan dan keindahan kawasan rancangan di samping memupuk komuniti yang
bersatu padu,” katanya.

Tambah beliau, sambutan Hari Peneroka kali ini sangat istimewa apabila diadakan di kawasan Parlimennya sendiri, Parlimen Bera.

“Peneroka dan semua warga Felda di sini sudah tentu menjadi saksi betapa dekatnya Felda di hati saya. Di sinilah tempat saya mencurahkan jiwa saya. Atas sebab
itu juga apabila saya menjadi Perdana Menteri, Felda sentiasa menjadi agenda yang kita bincangkan termasuk di peringkat Kabinet.

“Saya juga sentiasa berhubung terus dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh, Pengerusi Felda dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk mengetahui perkembangan terkini Felda termasuk masalah yang dihadapi oleh para peneroka Felda.

“Alhamdulillah, daripada maklum balas yang saya terima daripada YB Tan Sri serta pengamatan saya sendiri, Felda telah melangkah jauh mencipta pelbagai kejayaan sejak 66
tahun penubuhannya.

“Jika disoroti kembali kejayaan Felda dalam bidang perladangan, pelbagai kemajuan dicapai termasuk pemerkasaan mekanisasi dan teknologi dalam pengurusan
ladang peneroka, sehingga produktivitinya dapat ditingkatkan kepada purata 20 tan sehektar setahun, pada tahun ini.

“Pencapaian ini mewakili pertambahan sebanyak 2.71 tan sehektar berbanding hasil purata peneroka bagi tahun 2021,” katanya.

Perdana Menteri berbesar hati ingin berkongsi bahawa peningkatan produktiviti ini telah membawa kepada penciptaan nilai atau value creation buat warga peneroka dengan jumlah melebihi RM1 bilion setahun.

Katanya, peneroka juga dapat menerima tambahan pendapatan sehingga RM162 juta bagi setiap kenaikan 0.5 peratus kadar perahan minyak.

“Felda juga berjaya mengurangkan kos operasi ladang dengan penjimatan RM200 juta kos pembelian baja apabila Smart Plantation Management Solution (SPMS) iaitu aplikasi pintar yang diguna pakai membolehkan pembelian baja dibuat berdasarkan dirian pokok berbanding keluasan kawasan.

” Ini juga disokong dengan sumber alternatif dan bahan buangan kilang seperti tandan buah kosong serta abu tandan,” katanya.

Perdana Menteri menambah, Felda bukan sahaja memainkan peranan yang besar dalam sektor perladangan tetapi turut sama menyumbang kepada sekuriti makanan negara.

“Menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada bulan Jun lalu, saya telah mengumumkan lima langkah bagi menjamin sekuriti makanan termasuk memperkasa
ekosistem agromakanan dengan bekalan rantaian diterajui oleh GLC, GLIC dan agensi kerajaan,” katanya.