Din, Kid pegang ‘bunyi’ Search

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bertempat di lokasi ikonik yang menjadi pilihan ‘mat rock’ berkumpul pada era kegemilangan muzik genre itu pada 1980-an, Konsert Search Rockin On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, Ahad lalu, dianggap suatu manifestasi kembara seni kumpulan Search biarpun tanpa kehadiran vokalis asal, Amy.

Dihimpit krisis dalaman hingga peminat band legenda itu terbahagi dua, sesuatu yang ketara dapat dilihat pada persembahan padu petikan gitar Kid dan Din; vokalis baharu, Denden Gonjalez; Yan yang bermain bes dan pemain dram, Minn, pada malam itu adalah ‘bunyi’ sebenar kumpulan berkenaan.

‘Speechless’ (hilang kata-kata). Itu reaksi diberi penyanyi ‘otai’, Datuk Hattan apabila ditanya mengenai Konsert Search Rockin On Rooftop, usai persembahan.

“Saya sudah lama tidak dengar muzik begini. Memang bunyi Search ada pada Din dan Kid. Apabila saya dengar Din memainkan lagu Teguh, saya sedih, seperti mahu menangis.

“Saya sangat seronok. Saya rindu hendak tengok dia main, hari ini saya berpuas hati.

“Saya rindu ‘sound’ yang pekat begini. ‘Sound’ yang diberikan memang puas hati. Kunci bunyi Search itu memang ada pada Din dan Kid. Tiada siapa boleh menafikan.

 

Rata-rata peminat menganggap Kid (kiri) dan Din memegang ‘bunyi’ sebenar Search seperti dipersembahkan mereka pada Konsert Search Rockin On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, Ahad lalu. Foto Ihsan Penganjur Konsert Search Rockin On Rooftop

 

“Tanyalah siapa pun, saya pasti mereka ada pendapat sama. Berbaloi datang konsert ini. Saya ‘layan’ dan gembira menonton konsert ini,” katanya kepada BH Online.

Tanpa ragu-ragu, Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 57, menganggap persembahan Din, Kid, Yan, Minn dan vokalis baharu, Denden cukup memuaskan.

Hattan memuji persembahan Denden yang berasal dari Indonesia yang dapat menyempurnakan lebih 17 lagu kumpulan ikonik itu.

“Dia menyanyi sedap, ‘melekat’ dan memang ‘sesuatu’ Denden ini. Mula-mula saya tengok dia pemalu, tetapi dia nyanyi sedap,” katanya.

Justeru, penyanyi lagu Biso Bonar ini berharap Search di bawah Din dan Kid boleh meneruskan perjuangan muzik mereka, bukan sahaja di Malaysia, malah ke negara jiran.

“Saya berharap Search terbang tinggi ke negara seberang. Saya percaya kalau mereka hasilkan album penuh, boleh meletup.

“Album itu boleh merentasi pasaran Indonesia kerana penyanyinya dari seberang,” katanya.

Kongsi Hattan, beliau berbual dengan Datuk M Nasir dan sama-sama berpendapat, jika Search di bawah Din dan Kid menghasilkan album baharu, lagu dicipta mesti sedap.

“Saya juga harap mereka lancarkan siri jelajah. Di situ kita boleh semarakkan kembali arena rock kita. Saya fikir selepas pandemik ini, konsert saya sudah berlangsung dan konsert ini, di mana kedua-duanya sukses.

“Alhamdulillah, ini suatu petanda yang baik untuk arena muzik kita terutama muzik rock. Saya harap mereka akan terus jalan, jangan tunggu tiga hingga empat bulan lagi… Teruskanlah berjalan,” katanya yang mementaskan Konsert Datuk Hattan 35 Years Journey selama dua malam di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Selain Hattan, Konsert Search Rockin On Rooftop turut melihat rakan seperjuangan seperti M Nasir dan Datuk Ramli Sarip hadir memberikan sokongan.

Pada Konsert Search Rockin On Rooftop, Ahad lalu, kehadiran lebih 3,000 peminat membuktikan biarpun tanpa Amy, persembahan band legenda itu tetap berbisa.

Nyata, aura Search yang ditubuhkan sejak 1981, utuh biarpun pelbagai kontroversi melanda hingga band rock legenda itu bagai terbahagi dua.

Kehadiran Denden mengubat rindu peminat terhadap persembahan bertenaga kumpulan rock ikonik itu.

Biarpun konsert bermula agak lewat iaitu pada jam 9.30 malam berikutan hujan, namun, peminat setia menanti dalam kebasahan.

Pada konsert lebih dua jam itu, Search mendendangkan 17 lagu. Tirai konsert dibuka lagu Bencana, Metropolitan dan Pasti.

Search terus membuat peminat terpaku dengan lagu Purnama, Melastik Ke Bintang, Di Pintu Sepi, Bersalah Atau Tidak, Speech, Rock N Roll Pie.

Turut didendangkan adalah lagu Fantasia Bulan Madu, Bencana, Metropolitan,Teguh, Neo Romantik dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.

Tambah manis, konsert itu dihangatkan dengan persembahan Ratu Rock, Ella yang menyanyikan lagu Melayar Bahtera dan Bayangan secara duet bersama Denden.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat