KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menyiasat bagaimana dokumen berkaitan pengampunan Datuk Seri Najib Razak tersebar lebih awal sebelum dibentangkan di mahkamah.
Beliau berkata, urusan menyahrahsia atau memohon supaya dokumen berkenaan dinyahrahsia berkait dengan keperluan Peguam Negara menyediakan jawapan bagi prosiding mahkamah.
Bagaimanapun, katanya, persoalan mengenai pihak yang menyebarkan dokumen itu lebih awal perlu disiasat, bukannya dijadikan asas untuk menuduh kerajaan mengedarkannya.
“Tetapi siapa yang mengedarkan itu saya percaya KDN harus siasat bagaimana perkara ini boleh tersebar awal. Tetapi sebaik saja dibentang di mahkamah tentunya tersebar dengan sendirinya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari mengenai status kerahsiaan dokumen pengampunan Najib yang tersebar di internet serta sebab ia didedahkan pihak ketiga dan bukannya melalui saluran rasmi kerajaan.
Dalam soalannya, Ahli Parlimen Pas berkenaan turut mempersoalkan sama ada penyebaran itu membabitkan kelemahan disiplin kerahsiaan dalam kerajaan.
Menjelaskan perkara itu, Anwar berkata dokumen yang dikategorikan sebagai rahsia perlu kekal dilindungi, namun tindakan berkaitan penyahrahsiaan dalam kes berkenaan timbul daripada keperluan menjawab permohonan di mahkamah.
“Tetapi soalnya mengapa Peguam Negara declassify atau mohon untuk dinyahrahsiakan, itu kerana ada permohonan di mahkamah dan keputusannya untuk menjawab, dan daripada menjawab di mahkamah dia terpaksa ikut proses itu,” katanya.
Anwar turut menolak dakwaan bahawa kerajaan mengedarkan minit mesyuarat berkaitan perkara berkenaan.
Katanya, minit itu tidak dihebahkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) atau Jabatan Peguam Negara.
“Jangan buat tohmahan seperti mengatakan kerajaan edarkan, tidak ada. Tidak benar, kerana yang berlaku adalah keputusan Peguam Negara mempersiapkan kes jawapan di mahkamah itu sahaja,” katanya.
Mengenai perbandingan dengan dokumen pengampunan beliau sendiri, Anwar menjelaskan bahawa permintaan dalam kesnya hanya membabitkan keputusan pengampunan, bukan minit mesyuarat.
Katanya, jika minit mesyuarat diminta, perkara itu terserah kepada Peguam Negara dan mahkamah untuk menentukan sama ada ia boleh dinyahrahsia.



