“SST pun rakyat bayar, jangan tuduh GST bebankan marhaen” – Fadzmel bidas Tony Pua

KUALA LUMPUR- Tony Pua tidak seharusnya menggambarkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai beban kepada rakyat marhaen kerana sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diamalkan ketika ini juga menyebabkan kos cukai dipindahkan kepada pengguna melalui harga barang.

Exco Pemuda Umno Fadzmel Fadzil berkata, persoalan sebenar bukan sekadar siapa membayar cukai, sebaliknya sejauh mana sistem percukaian mampu mengelakkan cukai bertindih yang akhirnya meningkatkan kos kepada pengguna.

Fadzmel berkata demikian membidas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib DAP yang menyifatkan Barisan Nasional (BN) sebagai parti tauke dan rakyat marhaen bakal menanggung beban GST, beliau berkata, cukai yang dikenakan terhadap pembekal di bawah SST juga boleh dimasukkan dalam kos barangan sebelum ditanggung pembeli.

“Di bawah SST hari ini pun, cukai yang dibayar oleh pembekal boleh masuk ke dalam harga barang. Bila kos itu dipindahkan kepada pembeli, siapa yang bayar di kaunter? Rakyat juga,” katanya yang juga Setiausaha Akhbar Zahid dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Fadzmel, kelebihan GST ialah mekanisme kredit cukai input yang membolehkan peniaga berdaftar menolak cukai yang telah dibayar bagi pembelian perniagaan yang layak, sekali gus mengurangkan cukai bertindih sepanjang rantaian bekalan.

Beliau memberi contoh peniaga yang membeli botol kosong untuk menghasilkan sos cili, apabila cukai yang dibayar ketika membeli botol boleh ditolak daripada cukai yang dikutip ketika produk dijual kepada pelanggan.

Mengulas kebimbangan terhadap kelewatan bayaran balik GST seperti yang pernah berlaku sebelum ini, Fadzmel berkata kerajaan perlu menetapkan tempoh pembayaran, menyediakan dana khusus serta mengumumkan prestasi pembayaran secara terbuka.

Beliau turut mencadangkan kadar sifar bagi barangan asas seperti beras serta perbandingan harga bakul barangan yang sama di bawah SST dan GST bagi membolehkan rakyat menilai kesan sebenar kedua-dua sistem.

Fadzmel berkata, pelaksanaan semula GST juga boleh memanfaatkan rekod e-Invois sedia ada bagi memudahkan pelaporan cukai, semakan tuntutan kredit dan urusan bayaran balik kepada peniaga.

Beliau turut merujuk laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai Malaysia yang, menurutnya, mengutamakan pengenalan semula GST berbanding peluasan lanjut SST.

Katanya, Malaysia boleh mempertimbangkan GST 2.0 dengan perlindungan lebih jelas kepada keluarga, proses pematuhan lebih mudah untuk peniaga serta mekanisme bayaran balik yang lebih cekap.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat