Kajian Separuh Penggal RMK12 Dijangka Dibentang Oktober Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada sidang Parlimen Oktober depan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata kajian terbabit sedang berjalan ketika ini dan berada di peringkat libat urus dengan agensi berkaitan.

“Kajian separuh penggal sedang berjalan, sekarang di peringkat libat urus dengan agensi-agensi dan akan dibentangkan dalam sidang Parlimen Oktober 2023,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) yang meminta kerajaan memberi maklumat bila KSP RMK12 akan selesai dan dibentangkan.

Rafizi berkata, untuk tahun ini, berlaku sedikit kenaikan pada peruntukan yang dimohon kerana perlu melakukan KSP RMK12 selain kajian berterusan yang lain.

Katanya, keperluan untuk mengadakan kajian itu sebahagian besar datang daripada kementerian serta pihak berkuasa koridor lain.

“Contohnya kalau ada beberapa perkara atau perkembangan yang dirasakan akan ada kesan kepada ekonomi negara atau wilayah atau kawasan tertentu, maka pihak berkuasa yang bertanggungjawab itu akan memohon dengan EPU (Unit Perancang Ekonomi) untuk diadakan kajian kemungkinan.

“Contoh terkini ialah cadangan kerajaan Thailand untuk membina ‘land bridge’, jadi kita perlu mengadakan kajian kemungkinan mengenai kesan dan apa tindak balas kita kepada rancangan terbabit,” katanya.

Justeru, beliau berkata terdapat perkara mungkin ditimbulkan yang memerlukan kajian kemungkinan dilaksanakan.

“Jadi dari satu masa ke satu masa, ada perkara yang ditimbulkan, yang berlaku di sekeliling kita, yang kementerian pelaksana atau agensi terbabit itu, akan datang kepada Kementerian Ekonomi untuk diadakan kajian kemungkinan.

“Sebahagian besar daripada kajian ini dibuat dengan institusi antarabangsa seperti Bank Dunia kecuali kalau ada kemahiran tertentu yang unik dan khusus, yang hanya sesetengah kumpulan atau pihak sahaja boleh melakukannya,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat