“Saya Tiada Kuasa Jadi ‘Tangan Ghaib’ Pengaruhi Perwakilan Umno” – Rosmah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan beliau tidak mempunyai daya dan kuasa untuk masuk campur atau mempengaruhi perwakilan dalam proses pemilihan Umno.

Rosmah menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan beliau terlibat dan menjadi ‘tangan ghaib’ dalam pemilihan tiga sayap Umno yang berlangsung hujung minggu lalu.

“Merujuk kepada beberapa tuduhan melalui penulisan yang tersebar, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya terlibat dalam urusan pemilihan Umno dan mempengaruhi kemenangan atau kekalahan mana-mana calon.

“Saya tidak mempunyai apa-apa daya dan kuasa untuk masuk campur atau mempengaruhi perwakilan yang mengundi.

“Saya tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Umno dan begitu juga Datuk Seri Najib, maka seharusnya saya tidak dipalitkan dengan sebarang isu semasa pemilihan ini,” jelas Rosmah dalam kenyataan pada Selasa.

Pun begitu, bekas wanita pertama itu tidak menafikan masih ramai ahli Umno yang sayangkan kepada Najib sehingga sekarang.

“Atas jasa dan bakti beliau terhadap negara dan parti sejak berumur 23 tahun.

“Fokus saya ketika ini hanyalah untuk memperjuangkan keadilan buat suami saya serta menjaga kebajikan keluarga saya. Terlalu banyak dugaan sejak beberapa tahun ini yang perlu saya dan keluarga harungi, masakan pula saya mempunyai masa dan upaya untuk campurtangan dalam urusan pemilihan Umno.

“Sepanjang dugaan dan cabaran yang kami hadapi ini, Alhamdulillah terdapat ramai sahabat-sahabat yang sentiasa setia bersama dan berjuang dengan kami. Ada sahabat yang bertanding dalam pemilihan kali ini dan sudah tentu kami doakan yang terbaik buat mereka dan memberikan sokongan moral agar beroleh kemenangan,” ujar Rosmah lagi.

Beliau malah berharap perwakilan menilai keikhlasan dan kesetiaan mereka yang boleh diterjermahkan kepada parti.

“Ada kawan-kawan yang setia dengan kami juga mengalami kekalahan, jika saya campur tangan bagaimana mereka ini semua boleh kalah.

“Menyentuh mengenai kemenangan Yana, saya juga tidak mempunyai apa-apa pengaruh yang menyumbang kepada kemenangan dia. Yana menang di atas kekuatan dan daya usaha dia sendiri.

“Bagi yang mengikuti perkembangan Yana, sejak Najib dipenjara dia telah merantau ke seluruh negara dan berjumpa dengan ahli-ahli Umno di bawah yang mahu mendengar kisah dan perkembangan terkini mengenai Najib.

“Sudah berbulan-bulan lamanya Yana turun padang dari Perlis sampai ke Sabah dan berjumpa dengan orang ramai, jika dihitung mungkin ribuan jumlahnya yang telah Yana bertemu muka dan menjalankan persahabatan terutamanya dikalangan Wanita, Puteri dan Ketua-Ketua Bahagian Umno yang masih sayang dan menghargai Najib yang pernah memimpin Umno,” jelas Rosmah menyangkal dakwaan terhadapnya itu.

Begitu juga di musim pemilihan, kata beliau atas tekad untuk menang dalam pemilihan ini anak perempuannya itu telah turun ke bawah untuk berkempen.

“Yana telah pergi ke semua negeri dan berjumpa dengan hampir semua bahagian yang bersidang.

“Dari siang sehingga ke malam, tak berhenti sehinggakan Yana terpaksa meninggalkan anak-anaknya bersama saya malahan Adam pula sedang mengalami demam panas ketika itu. Sayalah yang susah hati siang dan malam menjaga Adam yang sedang sakit. Yana juga telah menggunakan media sosial sebagai platform kempennya yang mendapat liputan dan sebaran luas dalam kalangan perwakilan. Jika saya masuk campur, adakah perlu untuk Yana bekerja sekeras ini.

“Yana juga sentiasa mengikut segala nasihat daripada bapanya. Pesan Najib pada Yana, kalau nak berpolitik perlu mula daripada bawah dan santuni rakyat serta ahli-ahli Umno di semua peringkat daripada ahli biasa hinggalah kepada pimpinan,” kata beliau lagi.

Kekalahan dan kemenangan adalah atas kehendak Allah SWT diganding dengan usaha dan jasa yang kita taburkan kepada parti, kata Rosmah.

“Saya percaya mereka yang dipilih untuk menang tak kira siapa pun jua adalah kehendak perwakilan dari akar umbi Umno itu sendiri dan ketentuan Allah SWT.

“Kekalahan pula perlu mengajar kita erti muhasabah diri dan memperbaiki kelemahan yang ada. Janganlah kekecewaaan di atas kekalahan itu menjadi sebab untuk kita membuat cerita fitnah dan buruk sangka terhadap orang lain,” kata beliau.

Susulan itu, Rosmah berkata beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika fitnah dan tuduhan liar ini berterusan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat