KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Dungun memutuskan pemandu wanita yang dituduh membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Kampus Dungun layak dibicarakan.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman membuat keputusan itu dan menetapkan 20 Febuari ini sebagai tarikh pendakwaan semula terhadap tertuduh, Norizan Ismail, 50.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah menerima permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman pada prosiding sebutan untuk laporan psikiatri tertuduh.
Pada prosiding hari ini, Nor Azhani memberitahu mahkamah bahawa tertuduh layak dibicakan berdasarkan laporan psikiatri yang diterima daripada hospital Permai Johor.
Nor Azhani kemudiannya memohon satu tarikh bagi mendakwa tertuduh dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
Ketika prosiding itu juga, tertuduh yang diwakili peguam, Norhabibah Norulazhar kelihatan bingung serta tidak mengingati nombor kad pengenalannya sendiri ketika ditanya jurubahasa, lapor BH di Terengganu pada Selasa.
Pada 15 Oktober tahun lalu, Norizan didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dia didakwa menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun iaitu Muhammad Akmal Md Tukirim, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.
Berikutan itu, mahkamah memutuskan tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan psikiatri.
Selain tiga pertuduhan itu, Norizan turut dituduh mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana cubaan membunuh hingga menyebabkan kecederaan ke atas seorang lagi penuntut UiTM.