Strategi Perangi COVID-19 Membuahkan Hasil – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Menjelang 100 hari pentadbiran yang genap pada 9 Disember akan datang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong fokus utama membendung penularan pandemik COVID-19 telah mula membuahkan hasilnya.

Kata beliau, antaranya ialah keberhasilan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sehingga kini telah berjaya memberi vaksin kepada lebih 95.5 peratus populasi dewasa dan 66.4 peratus populasi remaja (setakat 2 November 2022).

Menurut Perdana Menteri PICK merupakan ‘game changer’ yang menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan merentas negeri yang dinanti-nantikan oleh rakyat.

” Sementara itu bilangan kes jangkitan harian COVID-19 juga telah berjaya diturunkan dan memberi kelegaan kepada rakyat dan petugas barisan hadapan.

” Secara umumnya dari segi psikologi, rakyat kini berasa lebih positif kerana telah dapat memulakan semula kehidupan seharian. Walau bagaimanapun Kerajaan akan terus
memantau perkembangan semasa pandemik dan bersiap sedia memperkenalkan langkah-langkah tertentu demi memelihara nyawa rakyat dan ekonomi negara,” katanya berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara, pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan serta sokongan dan dokongan semua lapisan masyarakat dalam membantu Kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

“Kerajaan juga amat bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga akibat pandemik ini. Sesungguhnya kehilangan ini amat menyedihkan.

” Kerajaan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama. Bagi tujuan menjaga kebajikan dan
kesejahteraan rakyat, Kerajaan telah menubuhkan Yayasan Keluarga Malaysia.

” Tujuan penubuhan Yayasan Keluarga Malaysia ini ialah untuk membantu dan menyantuni anak-anak yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan anak-anak yatim serta yatim piatu yang lain,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut memberitahu, Kerajaan juga telah mengorak langkah untuk mengeluarkan produk vaksin Malaysia yang berkualiti, berkesan dan selamat melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).