KUALA LUMPUR – Perjalanan urusan di Parlimen yang lancar serta konstruktif merupakan manifestasi muafakat Keluarga Malaysia dan keberhasilan Program Memorandum Persefahaman (CSA) yang dimeterai antara Kerajaan dan pembangkang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep “Keluarga Malaysia” sebagai pendekatan pentadbiran negara yang bersifat inklusif merentasi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Malaysia.

” Pendekatan pentadbiran ini mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang serta fahaman politik untuk bersama- sama menggembleng tenaga dan berganding bahu bagi membawa negara keluar daripada kemelut pandemik COVID-19, khususnya memulihkan ekonomi.

” Konsep ini telah mendapat maklum balas serta penerimaan positif dalam kalangan rakyat. Konsep Keluarga Malaysia akan dijadikan falsafah baharu dalam pentadbiran negara.

” Syukur atas keberhasilan Program Memorandum Persefahaman (CSA) yang telah ditandatangani antara pihak Kerajaan dan pembangkang. Semua tumpuan kini
adalah saling bekerjasama untuk membangunkan negara supaya pulih daripada krisis ekonomi dan kesihatan awam.

” Alhamdulillah hasilnya terlihat jelas dengan perjalanan urusan di Parlimen yang lancar serta konstruktif yang merupakan manifestasi muafakat Keluarga Malaysia serta demokrasi bermusyawarah seperti titah Tuanku,” katanya berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara, pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, bagi memastikan kesejahteraan rakyat kekal terpelihara, Kerajaan akan memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi
memastikan pertumbuhan ekonomi negara tercapai keberhasilannya.

” Sejak pandemik COVID-19 melanda negara, sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi telah dihulurkan oleh Kerajaan. Pakej-pakej tersebut bertujuan
melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara dengan membantu usahawan memulihkan perniagaan mereka. Pakej tersebut juga adalah bagi kegunaan agensi Kerajaan dalam memerangi COVID-19.

” Indikator awal kejayaan pakej-pakej ini telah terlihat di mana pertumbuhan ekonomi negara. Sebelum ini ekonomi negara menguncup 5.6 peratus pada tahun 2020, tetapi, telah berkembang sebanyak 7.1 peratus pada separuh pertama tahun 2021. Mengambil kira semakin banyak negeri di Malaysia memasuki fasa keempat Pelan Pemulihan Negara serta dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial, Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi diunjurkan berkembang antara 3 hingga 4 peratus tahun ini dan terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus berpaksikan asas ekonomi yang kukuh selain kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi dan keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia.

” Misi pemulihan ekonomi negara terus dipacu melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini. RMKe-12 merupakan agenda besar pemulihan negara sejajar dengan usaha Kerajaan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat melalui penjanaan semula dan merancakkan
pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh,” ujarnya.

Selain itu kata Perdana Menteri, beliau sedar bahawa Kerajaan perlu menambah baik proses pelaksanaan semua pelan yang dihasilkan supaya keberkesanannya benar-benar dirasai oleh rakyat, inilah sebenarnya cabaran paling utama Kerajaan.

” Kerajaan turut menyedari bahawa pencapaian prestasi ekonomi yang baik semata-mata adalah tidak memadai sekiranya isu-isu seperti kelemahan tadbir urus, ketirisan, penyelewengan serta salah guna kuasa masih di takuk lama.

” Apatah lagi isu-isu yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan perlu membuat usaha-usaha pembaharuan tertentu.

” Dalam usaha ini, beliau dan seluruh jentera Kerajaan akan melaksanakan penyelesaian terbaik demi memastikan setiap sen yang dibelanja memberi nilai pulangan ekonomi
yang lebih baik kepada rakyat dan negara. Selain pembaharuan prosedur dan penekanan budaya kerja berprestasi tinggi, Kerajaan akan meningkatkan tindakan
penguatkuasaan lebih tegas dan cekap bagi memastikan isu-isu yang sama tidak lagi berulang,” ucapnya.

Ismail Sabri memaklumkan beliau Kabinet sedang berusaha memerah buah fikiran dan tenaga untuk memastikan pencapaian Kerajaan.

” InsyaAllah patik akan membentangkan Laporan Pencapaian 100 Hari Kerajaan apabila tiba masanya nanti.

” Pada hari yang penuh bahagia ini, patik bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia dengan segala hormat dan takzimnya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Tuanku Tahun 2021 pada hari ini,” ucap beliau.