KUALA LUMPUR – Mengaitkan perbuatan DAP dengan tragedi lubang benam di Masjid India disifatkan sebagai berniat jahat, kata Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Wakil rakyat DAP itu berkata demikian membidas Perwakilan Pemuda Pas Kawasan Machang, Mohd Sharif Mohd Azhari yang mentafsir kejadian lubang benam berhampiran Masjid India, baru-baru ini sebagai tanda bala dari Allah SWT bahkan turut mendakwa kejadian itu juga boleh terjadi susulan apa yang dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC) di Kuala Lumpur dalam usulnya di Muktamar Pas ke-65 dalam usulnya yang berbunyi “Pemuda Pas mengutuk sekeras-kerasnya campur tangan DAP terhadap urusan umat Islam”.
Justeru Young Syefura menuntut Sharif meminta maaf dan menarik balik kenyataan berkenaan.
“Mengaitkan tragedi ini dengan perbuatan DAP adalah kenyataan berniat jahat yang cuba menimbulkan fitnah dan sangkaan buruk terhadap sesuatu yang bukan di bawah pengetahuan kita.
“Serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan. Kita tidak berhak membuat penghakiman yang semberono seperti ini.
“Saya minta Saudara Sharif untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut,” gesa beliau di laman X pada Jumaat.
Dalam pada itu, Young Syefura juga mengingatkan sebagai orang Islam, kenyataan yang dibuat oleh Perwakilan Pemuda PAS Kawasan Machang itu sebagai sangat tidak bertanggungjawab.
“Kejadian bencana ini boleh dilihat dari sudut kelemahan perancangan manusia ataupun sesuatu yang diluar kawalan kita.
“Adalah tidak munasabah untuk mengaitkan bencana dengan bala Allah yang hanya dalam pengetahuan yang Maha Esa,” katanya.
Semalam media melaporkan, Sharif mendakwa insiden lubang benam itu dilihat sebagai satu bala yang sekiranya tidak disekat kejahatan DAP.
“DAP ini jahat, buat kerja jahat dan kita biarkan dan kita kena sebut perkara ini,” katanya yang menyokong penuh usul dibentangkan oleh Ketua Pemuda Pas Kelantan Mohamad Kamal Mohamed.