KUALA LUMPUR – Peminat muzik rock tempatan bakal dihidangkan dengan satup P LLengalaman epik melalui penganjuran “Rock Warrior Music Festival”, yang dijangka berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi. Festival ini dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah, milik lagenda rock tempatan, Dato’ Awie, dengan matlamat untuk mengembalikan suasana kegemilangan muzik rock dan menyatukan peminat generasi lama serta baharu.
Antara band rock terkemuka yang akan memeriahkan pentas pada hari pertama (23 November) ialah Wings, Search (Kid & Din) dan XPDC. Mereka dijadualkan mempersembahkan lagu-lagu hit yang pernah menggegar dunia rock tempatan, membawa penonton mengimbau zaman kegemilangan rock.
Menurut Dato’ Awie, vokalis kumpulan Wings dan penganjur festival ini, Rock Warrior Music Festival merupakan usaha Rumah Produksi Merah untuk menyatukan peminat dan memperkenalkan bakat-bakat baru dalam dunia muzik rock.
“Saya percaya festival ini akan menjadi satu titik penting dalam menyatukan peminat muzik, tidak kira mereka dari era kegemilangan rock atau peminat baru yang ingin mengenal genre ini. Festival ini juga menjadi platform untuk band rock baharu menonjolkan bakat mereka dan memperkenalkan karya original kepada khalayak ramai,” kata Dato’ Awie.
Selain itu, festival ini juga dijangka akan menjadi mercu tanda penting dalam menyokong industri muzik rock tempatan. Dato’ Awie menambah bahawa acara ini merupakan satu penghargaan kepada peminat setia rock yang sentiasa menyokong genre tersebut tanpa putus asa.
“Rock Warrior Music Festival adalah untuk semua pejuang muzik rock. Kami ingin menghidupkan semula semangat rock, sambil memberikan pengalaman yang tak terlupakan kepada semua yang hadir,” ujarnya.
Selain persembahan bertenaga daripada band-band ternama, pelbagai aktiviti sampingan turut dirancang bagi menambah kemeriahan acara. Antaranya, pengunjung boleh menikmati pelbagai gerai makanan dan minuman, gerai jualan eksklusif barangan rock, serta booth aksesori.
Tiket untuk menyaksikan Rock Warrior Music Festival telah mula dijual sejak 7 September lalu. Terdapat tiga kategori tiket untuk kedua-dua hari acara, iaitu Gold (RM250, seated), Silver (RM200, standing), dan Bronze (RM150, standing), yang boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web rasmi [https://rockwarrior.ubertickets.asia](https://rockwarrior.ubertickets.asia).
Festival ini juga membuka peluang kepada band rock baru untuk menyertai acara ini. Mereka yang berminat boleh menghantar demo atau video persembahan mereka ke alamat Rumah Produksi Merah Sdn Bhd di Subang Jaya.
Rock Warrior Music Festival menjanjikan satu pengalaman penuh tenaga dan nostalgia buat semua peminat rock tanah air!