Lebih baik salur kepada PASTI daripada bayar denda, Hadi rela masuk penjara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau rela masuk penjara daripada membayar denda jika disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia susulan ucapannya yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan.

Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang itu berkata ini kerana wang untuk membayar denda lebih baik disalurkan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Katanya, puluh kali beliau dipanggil memberi keterangan selepas laporan polis dibuat ke atasnya, sama ada di pejabatnya mahupun di Bukit Aman.

“Saya beri layanan sebaik-baiknya kepada polis dan polis juga beri layanan baik kepada saya, saya ucap tahniah kepada polis yang menjalankan tugas secara profesional.

“Saya tunggu dibicarakan di mahkamah, saya sedia dihukum, tak tahu sama ada penjara atau denda… saya pilih penjara, kalau denda, baik beri pada PASTI.

“Kalau dihukum, saya dah tak layak jadi Ahli Parlimen… akan ada pilihan raya kecil… Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) boleh bertanding di Marang,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, pada Selasa lapor BH.

Media sebelum ini melaporkan kertas siasatan polis berhubung kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi berhubung mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Kertas siasatan yang sudah dilengkapkan itu diserahkan pada 7 September sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata pihaknya kini sedang menunggu sebarang arahan susulan daripada Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu Abdul Hadi berkata rasuah perlu ditangani secara holistik dan adil serta saksama tanpa berlaku kezaliman ke atas yang dituduh.

Ini kerana, katanya Islam meletakkan orang yang dituduh tidak bersalah sehingga dibuktikan, namun mereka perlu dibicarakan kerana tiada konsep melepas dan membebaskan (DNAA) dalam sistem kehakiman Islam.

Kenyataan itu dibuat ketika pelbagai pihak mempertikaikan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) memohon menghentikan kes rasuah terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dalam Islam tak ada dilepaskan tanpa dibebaskan… mesti dikenakan hukuman,” katanya yang memetik kisah Sultan Muhammad al-Fatih yang dihukum bersalah oleh hakim kerana memotong tangan seorang arkitek berikutan menggunakan pelan masjid yang salah.

Menerusi kisah itu, beliau berkata hakim memutuskan Sultan Muhammad al-Fatih bersalah dan dijatuhi hukuman potong tangan atau membayar diat (denda).

“Dan dia (arkitek) (pilih) terima pampasan seumur hidup sehingga dia meninggal dunia… itu lebih baik dari dia potong tangan sultan,” katanya.

Shahidan kemudiannya bangkit bertanyakan hukum orang yang membenarkan DNAA.

Dalam reaksinya, Abdul Hadi berkata dalam akidah Islam, ada dua mahkamah iaitu mahkamah dunia dan mahkamah akhirat.

“Walaupun lepas mahkamah dunia, takkan lepas mahkamah akhirat… orang yang ada iman akan sanggup dihukum di dunia,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat