KUALA LUMPUR 12 Julai – MIDF Research kekal ‘neutral’ terhadap sektor utiliti yang dilihat mempunyai peluang, terutamanya dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE) dengan sokongan kuat kerajaan untuk membangunkan ‘ekonomi hijau’.
Firma penyelidikan itu berkata sasaran bercita-cita tinggi negara untuk mencapai gabungan kapasiti RE sebanyak 70% merupakan peningkatan ketara berbanding sasaran sebelumnya iaitu 31% menjelang 2025 dan 40% menjelang 2035 dan memerlukan jumlah pelaburan bernilai RM637 bilion menjelang 2050, menurut Menteri Ekonomi.
“Pada ketika ini, pilihan utama kami ialah YTL Power (beli, harga sasaran (TP): RM1.54) sebagai dengan tumpuannya dalam eksport RE dan tumpuan strategik baharu kumpulan untuk membina RE dan kapasiti pusat data,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, firma itu menjangkakan Tenaga Nasional Bhd (neutral, TP: RM10) penerima berpotensi pelaburan grid untuk menampung pertumbuhan RE berubah-ubah dalam campuran tenaga.
Sementara itu, Ranhill (beli, TP: 73sen) yang terlibat terutamanya dalam operasi air, turut disukai firma itu memadangkan ia meningkatkan usaha untuk mengembangkan kapasiti REE menerusi program solar berskala besar (LSS) dan Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
“Secara umumnya, kami percaya pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) RE seperti Solarvest, Samaiden, Sunview dan Pekat juga akan mendapat manfaat daripada dorongan RE negara,” tambahnya.
Menurut MIDF Research, fasa pertama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) terdiri daripada 10 projek utama negara yang akan dibangunkan dengan kerjasama sektor swasta bagi memacu pembaharuan struktur ekonomi, merangkumi projek dan inisiatif strategik seperti hidrogen, ladang solar serta zon khas RE.
Sementara itu, fasa kedua dijangka melibatkan pembaharuan perundangan dan pembiayaan insentif yang akan dilaksanakan untuk mempercepatkan peralihan.
Firma itu meramalkan pertumbuhan kapasiti RE akan membolehkan penjanaan lebihan tenaga dikongsi dengan negara jiran menerusi eksport RE rentas sempadan.
“Pelaksanaan pembangunan RE akan diperluaskan dengan sistem serba lengkap untuk merangsang pelaburan di sepanjang rantaian nilai RE dan mempelbagaikan program RE menerusi pendekatan penjual pembeli-sanggup untuk memudahkan penyertaan korporat,” tambahnya.
Selain itu, peruntukan langsung daripada bajet pembangunan sistem solar di bangunan kerajaan akan menjimatkan kos bil elektrik kementerian dan agensi kerajaan.
MIDF Research berkata Malaysia merancang untuk mendedahkan pelan hala tuju teknologi ekonomi hidrogen pada separuh kedua tahun ini bagi menyokong pembangunan industri hidrogennya.
Sejajar dengan objektif iklim negara yang digariskan oleh Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), firma itu menjangkakan hidrogen boleh memainkan peranan dalam penyahkarbonan sub-sektor perindustrian dan memenuhi peningkatan permintaan untuk hidrogen hijau di Asia Pasifik. –