KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kemungkinan penipuan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam siasatan dan pendakwaan ke atas Yusoff Rawther.
Menurut Presiden Bersatu itu, sejak awal lagi pendakwaan ke atas Yusoff Rawther menimbulkan keraguan.
“Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang melepas dan membebaskan Yusoff Rawther tanpa perlu membela diri mengesahkan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berkemungkinan besar kerana bukti-bukti yang dikemukakan adalah direka untuk mensabitkan kesalahan.
“Ini adalah bukti jelas kebobrokan kuasa.
“Saya menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kemungkinan penipuan dan salah guna kuasa yang berlaku dalam siasatan dan pendakwaan ke atas Yusoff Rawther.
“Jika terbukti, kesemua mereka yang terlibat dan dalang utamanya mesti dihukum dengan seberat-berat hukuman,” gesa bekas Perdana Menteri itu.
Muhyiddin menegeskan beliau bimbang Malaysia berkemungkinan menjadi negara gestapo dengan kewujudan anasir-anasir tidak senonoh dalam agensi-agensi penguatkuasa yang mengikut telunjuk penguasa politik mereka secara membuta tuli.
“Untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara hukum, adalah penting agensi-agensi penguatkuasa yang tugasnya adalah semata-mata untuk menegakkan undang-undang dan keadilan dibersihkan daripada anasir-anasir jahat ini.
“Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
“Susulan pembebasan Yusoff Rawther oleh mahkamah, mesti ada jaminan daripada pihak berkuasa bahawa keselamatan beliau mestilah dilindungi.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Hakim Mahkamah Tinggi yang berani membuat keputusan berasaskan prinsip undang-undang dan keadilan,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.