Bukan kerja Menteri saring pemandu bas, Nazri Aziz bidas Bersatu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Veteran politik, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membidas Pertubuhan Pengusaha Bas Bumiputera Malaysia (Bersatu) dalam isu pajakan permit bas.

Mohamed Nazri menyifatkan Bersatu sebagai tidak bertanggungjawab apabila menunding jari menyalahkan kerajaan dalam isu berkenaan.

Hujah Mohamed Nazri, tugas Kementerian Pengangkutan hanyalah mengeluarkan permit bas dengan garis panduan yang sepatutnya diikuti pengusaha-pengusaha bas.

“Tak kan menteri nak bawa fail pergi check satu persatu permit bas dipajak atau tidak dan nak interview pemandu layak atau tak layak?

“Jika ada pengusaha yang memajakkan permit bas mereka, itu diluar pengetahuan kementerian dan pihak yang tahu perkara itu berlaku perlu lapor untuk tindakan tegas diambil.

“Ini bila sudah berlaku kemalangan baru nak bising-bising kata isu ini sudah berlaku lama, kalau sudah tahu kenapa tidak laporkan? Atau pihak Bersatu juga ada terlibat memajak permit?

“Kalau semua perkara Kementerian Pengangkutan perlu lakukan, tidak perlu lagi ada syarikat-syarikat pengusaha bas,” katanya kepada Suara.tv.

Sebelum ini, media melaporkan, Bersatu mendakwa isu pajakan permit bas hanya timbul selepas nahas jalan raya mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), walaupun berlaku sejak sekian lama.

Pertubuhan itu mendedahkan kegiatan ‘pajakan’ permit yang membabitkan ribuan bas ekspres dan di seluruh negara, dengan bayaran RM500 sebulan.

Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat itu juga menegaskan sikap menyalahkan kerajaan dalam isu ini membuktikan pihak-pihak tertentu mengambil sikap lepas tangan bila timbul masalah.

Katanya, pertubuhan seperti Bersatu sepatutnya membantu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas bukan hanya tahu mencari salah.

“Bantu Kementerian Pengangkutan, bantu APAD kalau mahu mutu perkhidmatan bas bertambah baik.

“Sikap hanya nak menyalahkan kerajaan sahaja sepatutnya tidak dilakukan lagi.

“Kita ada menteri seperti Anthony Loke yang komited dengan tugas beliau, sepatutnya beliau dibantu,” katanya lagi.

Untuk rekod, Mohamed Nazri pernah menjawat jawatan Menteri Pembangunan Usahawan yang mana Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LKPK) terletak di bawah kementerian tersebut dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) di mana Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat