PBSL: 15 banduan Pusat Koreksional Perlis dibebaskan awal sempena Aidiladha

- Advertisement -

ARAU – Peluang dibebaskan lebih awal dari penjara menjelang Aidiladha menjadi detik kesyukuran yang tidak dapat dilupakan kepada seorang lelaki dikenali sebagai, Din, 24, selepas menjadi antara 15 banduan atau prospek yang dibebaskan menerusi program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL).

Din berkata, menjadi orang bebas berlesen (OBB) menjadi peluang kepadanya untuk bersama-sama meraikan Aidiladha bersama isteri dan anak lelakinya yang berusia setahun.

“Saya berada di sini (Pusat Koreksional Perlis) atas kesalahan dadah dan selama 10 tahun berada di sini ternyata ia memberi satu keinsafan kepada saya dan apabila mendapat peluang menjadi OBB ini ia membuatkan saya bersyukur kepada Ilahi kerana ini adalah peluang kedua buat saya untuk bertemu anak dan isteri saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Koreksional Perlis, di sini hari ini.

Din menjadi antara 15 prospek yang dibebaskan lebih awal dari penjara sempena program PBSL Ihsan Madani; Kepulangan Yang Dinanti sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha 2024, di sini hari ini.

Sementara itu, bagi seorang pemilik syarikat mencuci kereta dan kebun yang menyertai program PBSL, Ahmad Hafizal Husni, beliau melihat program itu sebagai satu cara kepadanya untuk memberi peluang kepada prospek berkenaan untuk diambil bekerja dalam bidang perkhidmatan yang ditawarkan.

“Pada pendapat saya, masyarakat perlu memberi peluang kedua kepada OBB ini dengan memberi pekerjaan kepada mereka agar dapat berdikari sebagai peluang kedua mereka.

“Sepanjang pengalaman saya lebih dua tahun mengambil mereka bekerja, saya tidak menghadapi masalah dengan OBB yang bekerja dan ada dalam kalangan mereka juga terus bekerja dengan syarikat saya sehingga hari ini.

“Daripada majikan mengambil pekerja asing, saya rasa lebih baik mereka mengambil prospek yang dibebaskan untuk bekerja, seterusnya sebagai usaha membantu mereka tidak lagi kembali semula ke penjara,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat