MBSB pulangkan semula wang RM24.2 juta yang dicuri sindiket

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) sudah memulangkan semula wang daripada empat akaun simpanan tetap berjumlah RM24.2 juta yang dicuri oleh satu sindiket, baru-baru ini.

Bank itu dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan satu siasatan dalaman secara menyeluruh sudah dilakukan pihaknya susulan daripada siasatan awal dijalankan oleh polis.

Menurutnya, kejadian ini membabitkan sindiket yang bersekongkol dengan beberapa kakitangannya, yang kini berada dalam tahanan polis.

“Sindiket ini melakukan pengeluaran wang secara haram yang disahkan menggunakan kad pengenalan (NRIC) palsu,” katanya.

Tambah kenyataan itu, MBSB Bank sedang bekerjasama secara aktif dengan pihak berkuasa untuk memastikan siasatan kes yang berlaku di Kota Kinabalu, Sabah itu dapat diselesaikan dengan segera dan menyeluruh.

“Keutamaan kami adalah keselamatan dan kepercayaan pelanggan kami. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.

“Kami telah memulangkan semua wang yang dikeluarkan secara haram daripada akaun pelanggan yang terjejas,” katanya.

Katanya, MBSB Bank komited untuk mengekalkan integriti keselamatan perbankan untuk semua pelanggannya dan akan terus bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan.

“Ini untuk memastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan yang sewajarnya atas tindakan mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang sindiket yang mengeluarkan wang tunai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan tetap.

Suspek berusia 40-an itu ditahan di Sabah, pada 14 Jun lalu selepas polis menahan seorang bekas pengurus bank wanita sehari sebelum itu.

Secara keseluruhan, katanya, seramai 14 suspek ditahan bermula 13 Jun hingga kelmarin, empat daripada mereka adalah kakitangan bank terdiri pengurus dan penyelia simpanan tetap.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, dalam satu sidang media, Jumaat lalu dilaporkan berkata dalang utama dikatakan mengagihkan habuan jenayah itu kepada rakan subahat mengikut peranan serta tugas masing-masing.

Berdasarkan siasatan Bukit Aman, suspek yang menjalankan tugas paling mudah menerima bayaran serendah RM100,000 hingga RM240,000.

Ramli turut dilaporkan berkata kegiatan penipuan ini adalah satu jenayah terancang membabitkan dalam dan luar bank yang bersubahat bagi urusan pengeluaran wang simpanan tetap yang sudah dikenal pasti.

“Empat mangsa dalam kes ini adalah pemilik akaun simpanan tetap membabitkan tiga pemilik akaun bank di Selangor dan satu di Perak.

“Pengeluaran wang pertama secara tunai di kaunter bank berjaya dilakukan sekitar April lalu, disusuli beberapa pengeluaran seterusnya pada Mei serta Jun,” katanya.

Tambah beliau, pengeluaran wang berjaya dilakukan melalui subahat dalaman dengan cara mematuhi prosedur pengeluaran wang ditetapkan pihak bank sehingga menjadikannya tidak dapat dikesan.

Kegiatan penipuan ini mula terbongkar apabila seorang pemilik akaun simpanan yang juga mangsa hadir ke bank untuk membuat pengemaskinian akaun sebelum tampil membuat laporan polis pada 6 Jun lalu.

Suspek dalam kes ini dikatakan mempunyai kepakaran memalsukan sistem biometrik pada kad pengenalan dan data milik mangsa. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat