Oleh: Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan projek Jana Ekonomi Digital Asnaf (JEDA) membolehkan para asnaf memiliki kemampuan dan kredibiliti untuk menjana sendiri secara mampan melalui bidang pemasaran digital, e-dagang, pengurusan media sosial dan celik kewangan.
Peserta projek ini dapat mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, membantu memacu ekonomi negara seterusnya menjadi pembayar zakat yang konsisten untuk membantu orang lain.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata demikian ketika meluncurkan perasmian JEDA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Auditorium Menara Affin, Lingkaran TRX, Tun Razak Exchange pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohamad Kori Jusoh dan, Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Saifuddin Md Tahir.
Menurut Dr. Zulkifli, projek JEDA adalah inisiatif segera cakna rakyat yang dilaksanakan dalam usaha melahirkan usahawan digital yang berjaya dan, kesinambungan daripada projek ‘Digital Entrepreneurship Asnaf’ (DEA) yang telah diluncurkan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 12 Mei lalu.
Ianya anjuran Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM dikelolakan bersama oleh Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic), Etiqa Family Takaful Berhad (Etiqa), MAWIP dan, Sinergi Ilmu Resources Sdn. Bhd.
Menurutnya lagi, seramai 30 peserta asnaf awal di sini telah dipilih oleh MAIWP akan melalui empat fasa pembelajaran iaitu pendedahan , pendidikan, pemasaran dan fasa pemantauan dalam tempoh selama enam bulan.
Selain diberi elaun bulanan sebanyak RM250 peserta projek JEDA turut dibekalkan dengan sebuah tablet dan ‘workbook’ antara keperluan penting dalam meningkatkan produktiviti perniagaan mereka.
Dalam pada itu, Pengerusi Affin Islamic, Hj. Musa Abdul Malek berkata, sebagai ahli SDK, pihaknya telah memperuntukkan RM20,000 daripada dana zakat berserta penajaan lokasi majlis pelancaran untuk menjayakan projek JEDA.
Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa, Hj. Zafri Ab Halim pula berkata, sumbangan zakat berjumlah RM105,000 disalurkan bagi menjayakan pelaksanaan program ini untuk golongan asnaf.
Katanya lagi, Etiqa sentiasa komited untuk membantu apa jua agensi atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam program-program yang melibatkan komuniti.
Sementara itu, Rosnah Harun,50, antara peserta projek JEDA yang mengusahakan perniagaan nasi lemak di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Titiwangsa telah mempromosikan produknya melalui Facebook (FB).
“Saya amat bertuah terpilih menjadi peserta projek ini dan akan menafatkan sumbangan yang diberikan dengan sebaiknya dan mempelajari mengunakan media sosial lain bagi urusan jual beli melalui atas talian seperti menerusi platform TikTok,” katanya kepada Wartawan SUARA TV.
Projek JEDA yang diluncurkan ini menarik seramai 220 penyertaan terdiri daripada Asnaf B40, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) , Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Management and Science University (MSU) dan, pelajar sekitar Selangor. – SUARA.TV