BlackRock: Penjelasan PM masih mengelirukan, hanya bersilat konon MAHB perlukan ‘cash’ – PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu penjualan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada GIP milik BlackRock di Dewan Rakyat hari ini masih mengelirukan.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, tiada apa yang dijelas melainkan hanya bersilat kononnya MAHB perlukan ‘cash’.

“Bahkan sempat lagi menyebut isu ini juga turut dibincang bersama HAMAS dalam pertemuan tempoh hari.

“Siapa yang mahu percaya? bidas Ketua Penerangan PAS itu dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan, penjualan pegangan saham dalam MAHB kepada BlackRock dibuat selepas melalui syarat ketat, dengan tapisan dilakukan dalam kalangan keseluruhan 145 syarikat yang berminat.

Anwar berkata, daripada 145 syarikat itu, lima syarikat akhirnya disenarai layak termasuk BlackRock, dengan antara isu yang timbul di peringkat rundingan adalah kebanyakan syarikat berkenaan mahu diberikan hak mengurus sepenuhnya.

“Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) melaporkan apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, sekitar 145 (syarikat) yang berminat, akhirnya lima yang layak.

“Syarat yang ditetapkan oleh Khazanah adalah ketat dan ia tak dipersetujui kebanyakan (syarikat). Pertama, (jawatan) pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) mestilah rakyat Malaysia, selain itu, majoriti pegangan adalah (milik) Malaysia.

“Namun syarikat yang berminat ini, baik Singapura atau lain-lain, mereka nak hak mengurus. Maknanya CEO dalam kalangan rakyat dia atau mereka yang tentukan. Syarat ini tak diterima. Itu sebabnya mengapa GIP diambil,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempersoalkan pemilihan Blackrock yang dikaitkan sebagai syarikat pro-Israel.

Pelaburan BlackRock di negara ini bukan baharu, malah syarikat pelaburan antarabangsa itu sudah melabur di negara ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu khususnya dalam pasaran ekuiti dan bon syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat korporat Malaysia.

Semakan data menunjukkan BlackRock sudah mempunyai kepentingan dan pegangan saham dalam syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion dan RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat Malaysia.

Menurut data boleh diperoleh secara terbuka juga menunjukkan, sehingga Mei 2024 firma pelaburan global itu sudah sedia ada memiliki pelaburan dalam ekuiti dalam 100 syarikat tersenarai di Malaysia merangkumi keseluruhan sektor industri, dengan tiga institusi perbankan di negara ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat