Guan Eng halang Tun M haramkan Umno, dedah Azmin pembuli punca populariti PH 1.0 merudum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mendedahkan beliau menentang hasrat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengharamkan Umno sebagai parti politik sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0 selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Pengerusi DAP itu memberitahu, asas penentangan beliau terhadap pengharaman Umno itu kerana jelas bertentangan dengan hak asasi iaitu kebebasan untuk berpersatuan.

“Beliau (Dr Mahathir) juga terkejut dengan penentangan saya terhadap hasrat beliau bagi mengharamkan Umno sebagai parti politik.

“Biarpun kita menentang Umno ketika itu, saya berpandangan hal ini adalah jelas bertentangan dengan hak asasi iaitu kebebasan untuk berpersatuan,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Jelas Guan Eng, Umno tidak pernah mengharamkan DAP atau PKR semasa parti-parti itu menjadi pembangkang.

“… dan saya berpandangan pengharaman tersebut bakal menyebabkan kita dilihat jauh lebih teruk daripada Umno sekiranya dilaksanakan oleh beliau.

“Saya mendedahkan isu ini kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan kami berjaya memaksa Dr Mahathir untuk melupakan hasrat dan idea tersebut,” dedah Ahli Parlimen Bagan itu.

Pendedahan Guan Eng itu susulan buku “Shattered Hopes” karangan Romen Bose tentang politik tanah air pasca 2018 mendedahkan sudut pandang mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, ia sarat dengan kenyataan separuh benar dan juga kenyataan palsu.

“Umum sudah pun kenal dengan sikap Dr Mahathir, seorang yang pakar dalam memilih gambaran terbaik buat beliau semata-mata.

“Mudah untuk kita mengaitkan kepincangan maklumat tersebut dek kerana nyanyuk dalam usia lanjut beliau, namun atas cita-cita dan azam tinggi serta motivasi politik membalas dendam yang telah dipamerkan memaksa saya menulis dan memperbetulkan kenyataan tersebut.

“Selaku Menteri Kewangan beliau, saya dapat bersama-sama di sebelah beliau sewaktu permulaan selaku Perdana Menteri buat kali kedua, dengan hasrat melaksanakan manifesto Pilihan Raya Umum 2018 oleh PH. Malang sekali apabila beliau mula menghina tekad dan janji manifesto tersebut secara terbuka dan kemudiannya terang-terangan mengingkari hampir setiap janji pilihan raya utama yang dibuat oleh PH.

“Bermula dengan kenyataan bahawa Manifesto Pilihan Raya PH bukanlah ‘kitab suci’, kepada menentang janji-janji utama secara terbuka seperti pengurangan tol lebuh raya, pentadbiran PH pada tahun 2018 lantas menjelma menjadi medan pertempuran sengit setiap hari,” dedah beliau lagi.

Menurut Guan Eng, pertembungan jelas antara mereka yang ingin melaksanakan janji-janji pilihan raya dengan barisan pembuli yang diketuai oleh Timbalan Presiden PKR ketika itu dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali.

“Tidak hairanlah populariti PH jatuh merudum apabila beliau beria-ia menentang sekutu sendiri sama seperti serangan terhadap lawan politiknya.

“Dr Mahathir secara terbuka pernah mengugut untuk memecat saya sebanyak tiga kali semasa mesyuarat Kabinet. Beliau juga secara terbuka marah dengan desakan berterusan saya untuk mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan sebanyak 18 peratus, biarpun ditentang keras olehnya.

“Beliau juga menentang tindakan saya bagi melaksanakan tender terbuka untuk perolehan kerajaan dan memberi peruntukan pembangunan kepada Ahli-Ahli Parlimen kerajaan. Walaupun beliau memberikan tentangan, saya berjaya melobi majoriti anggota Kabinet untuk bersetuju dengan cadangan-cadangan ini lantas menimbulkan kekecewaan di dalam dirinya,” kata Guan Eng.

Selain itu kata Guan Eng, Dr Mahathir juga sangat marah dengan peranan yang dimainkan oleh Ahli Parlimen DAP Damansara ketika itu, Tony Pua selaku Setiausaha Politik kepada beliau.

“Dr Mahathir berkali-kali memberikan bayangan untuk saya memecat Tony Pua.

“Saya enggan tunduk kepada desakan tersebut dan menjelaskan bahawa saya juga akan meletakkan jawatan sekiranya Dr Mahathir memaksa pemecatan tersebut,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat