PKPB: Sanggupkah Kita Lalui PKP Sekali Lagi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR — Fasa nasihat dan amaran kepada mereka yang sewenang-wenangnya mengabaikan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sudah berakhir.

Demikian penegasan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai reaksi beliau terhadap laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa banyak kes ketidakpatuhan terhadap peraturan dan SOP PKPB sewaktu pemeriksaan dijalankan di seluruh negara.

Ismail Sabri mungkin mengeluarkan amaran sedemikian memandangkan baru sahaja 10 hari sejak PKPB dilaksanakan bermula 4 Mei lepas, namun sudah ramai yang menunjukkan ‘taring’ ketidakpatuhan mereka kepada SOP PKPB.

Dapat dilihat, di pelbagai lokasi, terutamanya pusat membeli-belah, pasar awam, malah di tempat kerja, peraturan dan SOP yang ditetapkan kerajaan mula dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak.

Situasi ini menggambarkan seolah-olah orang ramai mula mengambil mudah keseriusan kerajaan dan barisan hadapan yang berhempas pulas menentang dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, musuh yang tidak kelihatan ini.

Mungkin juga terlalu selesa dengan angka-angka semasa COVID-19 di negara kita, misalnya semalam apabila mencatat hanya 16 kes positif baharu, terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac.

Disebabkan perkara-perkara seperti ini, maka tidak hairanlah apabila semalam kerajaan memutuskan fasa nasihat dan amaran berakhir dan mereka yang didapati melanggar SOP PKPB akan dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Ismail Sabri Yaakob, mereka yang didapati melanggar peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat perlu terus mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan di bawah PKPB atau berhadapan pengenalan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini.

Sebenarnya, kita semua sebagai rakyat tahu bahawa kitalah yang boleh menentukan sama ada PKP ini boleh ditamatkan atau tidak.

Sudahlah tidak dapat balik kampung menyambut Aidilfitri kali ini kerana PKPB, jangan disebabkan sikap kita sendiri situasi sama pula turut berlaku pada Hari Raya Aidiladha akan datang.

Seperti kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, “Marilah buktikan kepada dunia yang kita boleh lakarkan sejarah dengan memutuskan rantaian penularan COVID-19 dan elakkan berlakunya gelombang kedua.”

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat