NGO Pertikai Polis Johor Tembak Mati Suspek Samun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay merujuk semula Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) mengenai prosedur operasi standard (SOP) melepaskan tembakan ketika menahan suspek.

Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) mempersoalkan adakah tindak balas polis menembak empat suspek samun sehingga mati semalam bersesuaian dengan SOP ditetapkan apabila berdepan serangan penjenayah.

“EDICT curiga dengan tindakan polis yang terus menembak mati suspek dalam satu kejadian mengejar yang berlaku di Batu Pahat, Johor,” katanya dalam kenyataan.

EDICT juga merujuk SOP polis dalam melepaskan tembakan seperti dinyatakan dalam PTKPN D222.

“Terhad hanya untuk menjatuhkan orang salah itu sahaja atau menahan kesalahan daripada berlaku. Jika keadaaan mengizinkan hendaklah ditujukan kepada kaki,” katanya.

EDICT berkata, dalam perintah sama, telah dinyatakan bahawa tindakan menembak oleh seseorang anggota polis hendaklah berpatutan.

Katanya, dalam kes itu, Ayob Khan tidak menjelaskan lebih lanjut bagaimana serangan dengan menggunakan senjata tajam tersebut dilakukan dan apakah kecederaan yang dialami oleh anggota berkenaan.

“Mengapakah polis tidak menembak di bahagian kaki suspek terlebih dahulu seperti dinyatakan dalam SOP polis.

“Apakah tindak balas polis membunuh semua suspek tersebut dilihat munasabah dan berpatutan sebagaimana dinyatakan dalam PTKPN D222,” katanya.

EDICT juga menggesa kerajaan segera melaksanakan pemakaian kamera badan pada anggota polis semasa bertugas.

Katanya, polis seterusnya hendaklah sentiasa mendedahkan rakaman kamera badan kepada umum selepas berlaku kejadian tembak-menembak atau serangan lain terhadap anggota supaya situasi sebenar mengenai kejadian dapat memberi justifikasi yang adil terhadap anggota polis yang mengambil nyawa seseorang tahanan.

“EDICT juga ingin mengingatkan polis dan Jabatan Peguam Negara agar segera adakan inkues bagi menyiasat kes kematian.

“Perlu diingatkan bahawa, bawah Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah, kematian dalam tahanan polis adalah mandatori untuk diadakan inkues,” katanya.

Semalam, empat lelaki dipercayai suspek jenayah samun mati selepas berbalas tembak dengan pasukan polis yang turut menyaksikan seorang pegawai pasukan keselamatan itu cedera ditikam dalam kejadian di Jalan Pagoh-Parit Sulong.

Ayob Khan berkata, dalam kejadian 3.15 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan sebuah Toyota Avanza dan Perodua Myvi, masing-masing dinaiki dua lelaki, yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika polis mahu membuat pemeriksaan, pemandu dan penumpang Toyota Avanza bertindak agresif dengan pemandunya mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat