Calon PRN Melaka diberi amaran tak terlibat rasuah politik – SPR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – “Jangan sekali-kali terlibat sebarang unsur rasuah seperti yang disebut dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” itu amaran Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.

Beliau mengingatkan semua calon bertanding termasuk mana-mana yang terlibat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk tidak cuba melakukan rasuah demi memancing undi.

Memetik Utusan Malaysia, Pengerusi SPR itu berkata, ini termasuk jentera parti politik yang menggerakkan kempen bagi mempromosikan calon mereka dengan menggunakan kaedah bertentangan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Abdul Ghani berkata, kempen PRN Melaka ke-15 berlangsung dalam tempoh empat hari berada pada tahap memuaskan dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) adalah tahap tertinggi.

Katanya, situasi itu mengikut pelaporan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) di semua 28 DUN.

Menurut beliau, tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan kempen dalam norma baharu berjalan lancar.

“SPR menyeru semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sepanjang tempoh berkempen dan hari mengundi nanti,” katanya.

Kempen PRN Melaka Ke-15 ditetapkan selama 12 hari bermula Hari Penamaan Calon Isnin lalu.

Ia sekali gus menyaksikan calon-calon yang bertanding mewakili parti-parti politik atau dari calon Bebas mula menggerakkan segala strategi berkempen untuk meraih undi bagi memperoleh mandat memerintah Kerajaan Negeri Melaka menjelang hari pengundian pada 20 November ini.

Bagaimanapun, aktiviti berkempen dilihat agak terhad dan di luar kebiasaan mengikut norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19 selepas KKM mengeluarkan larangan bagi sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya sejak 25 Oktober lalu hingga 27 November ini.

SPR kelmarin mengumumkan SOP lengkap bagi PRN Melaka seperti sebarang penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh pilihan raya itu.

Suruhanjaya itu turut meminta semua pihak yang terlibat dengan PRN Melaka mematuhi segala SOP pencegahan Covid-19 bagi PRN Melaka yang diluluskan KKM.

Turut dilarang semasa PRN Melaka adalah kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka.

Bagaimanapun, SPR membenarkan parti-parti politik dan calon yang bertanding menggunakan kaedah menaiki lori atau van untuk berkempen dengan mendekati pengundi, dengan syarat mendapat permit polis terlebih dahulu.

Kempen di media elektronik arus perdana seperti televisyen dan radio bergantung kepada perbincangan parti dengan pihak berkenaan, dan kaedah itu dibenarkan selain daripada menggunakan saluran media sosial.

PRN Melaka diadakan pada 20 November ini ekoran pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober lalu seperti mana di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat