Isu Kemiskinan Buat PM Sebak Ketika Bentang RMK12

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang selalunya kelihatan tenang ketika di Dewan Rakyat mahupun di Dewan Negara, hari ini tidak mampu menahan perasaan sebak waktu mengimbau kepayahan dan keperitan hidup zaman kanak-kanaknya yang lahir daripada keluarga penoreh getah.

Semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12; Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif dan Mampan, di Dewan Negara pagi tadi, suara Ismail Sabri tersekat-sekat menahan sebak sehingga beliau terpaksa berhenti berucap beberapa kali.

Ismail Sabri beremosi dan dilihat menyeka air mata sewaktu membaca para 42 ucapan beliau yang berbunyi; “Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat. Pandemik COVID-19 yang telah melanda telah meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan.” katanya ketika membentang RMK12 di Dewan Negara, sebentar tadi.

Untuk itu, Ismail Sabri mengumumkan Unit Kemiskinan akan ditubuhkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (atau UPE, JPM).

Jelasnya, penyusunan semula fungsi dan perjawatan untuk menyelaras segala hal ehwal kemiskinan, termasuk pengurusan data yang lebih bersepadu.

Ujar beliau lagi, Unit yang sama dicadang ditubuhkan di setiap negeri dan pejabat daerah. Melalui usaha ini, beliau yakin sasaran untuk membasmi kemiskinan tegar dapat dicapai pada tahun 2025.

“Menyedari kesan pandemik kepada kadar kemiskinan dan bagi memastikan inisiatif pembasmian kemiskinan yang lebih berkesan, Pendapatan Garis Kemiskinan (atau PGK) sedia ada akan dikemas kini berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022. Kaedah mengukur kemiskinan juga akan terus ditambah baik dengan memperluas skop Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (ataupun MPI).

“Bagi menambah baik kesejahteraan keluarga B40 dan kumpulan mudah terjejas, usaha yang lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk CSO, badan korporat, orang perseorangan dan majlis agama Islam negeri yang sentiasa prihatin dan menyokong Kerajaan dalam membantu masyarakat yang terkesan sepanjang pandemik.” kata Ismail Sabri.

Terdahulu, Rancangan Malaysia dari 2021 hingga 2025 itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat Khamis lepas selepas dibentang pada 27 Sept lepas dan dibahas 106 Ahli Parlimen.

Ia yang menjadi landasan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun, selepas ini akan melalui sesi perbahasan Ahli Dewan Negara sebelum diluluskan di peringkat Dewan Negara.

Ismail Sabri ketika membentangkan perancangan lima tahun berkenaan berkata RMK12 adalah pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama.

Bermatlamatkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, beliau berkata pembaharuan yang diperkenalkan dalam RMK12 meliputi tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan.

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat