PM Bentang RMK12 Di Dewan Negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Negara, hari ini.

Rancangan Malaysia dari 2021 hingga 2025 itu sebelum ini diluluskan di Dewan Rakyat Khamis lepas selepas dibentang pada 27 Sept lepas dan dibahas 106 Ahli Parlimen.

Ia yang menjadi landasan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun, selepas ini akan melalui sesi perbahasan Ahli Dewan Negara sebelum diluluskan di peringkat Dewan Negara.

Ismail Sabri ketika membentangkan perancangan lima tahun berkenaan berkata RMK12 adalah pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama.

Bermatlamatkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, beliau berkata pembaharuan yang diperkenalkan dalam RMK12 meliputi tiga tema dan empat pemangkin dasar serta 14 pemacu perubahan.

“Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (atau CSO) serta rakyat dalam penggubalan dan pelaksanaan rancangan ini.

“Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis berkembar ini (ekonomi dan kesihatan). Kerajaan akan memperuntukkan RM400 bilion bagi memenuhi keperluan RMK12, terutamanya untuk membiayai projek pembangunan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata dalam keadaan kewangan semasa yang terhad, tumpuan perbelanjaan pada tahun ini dan 2022 adalah untuk melindungi nyawa dan kehidupan serta memenuhi komitmen projek sambungan.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan pencapaian yang telah ditetapkan dalam RMK12, kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) di bawah penyelarasan Unit Perancang Ekonomi yang dijangka akan disiapkan pada November ini.

Ismail Sabri berkata PPD itu akan menjajarkan strategi dan inisiatif dengan petunjuk prestasi utama (KPI) serta kementerian dan agensi penyelaras dan pelaksana yang bertanggungjawab.

“Satu jawatankuasa pemantauan akan ditubuh dan dipengerusikan oleh saya sendiri untuk memantau pelaksanaan RMK12 dengan rapi. Saya akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemantauan yang pertama pada pertengahan bulan November ini.

“Saya juga mengalu-alukan maklum balas daripada semua Ahli Yang Berhormat berhubung cadangan pelaksanaan dasar dan strategi RMK12 ini,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa semua strategi dan inisiatif di bawah RMK12 akan dilaksanakan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

Ismail Sabri berkata meskipun terdapat pihak yang meragui pencapaian sasaran RMK12, namun beliau yakin dengan kerjasama semua pihak dan semangat Keluarga Malaysia akan memastikan matlamat yang ditetapkan mampu dicapai.

Justeru, Perdana Menteri menyeru supaya usaha yang lebih jitu dan tersusun dapat diteruskan bagi memantau dan melaksana semua strategi serta inisiatif di bawah RMK12.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata Malaysia hampir berjaya dalam perjuangan memerangi impak pandemik COVID-19, tetapi masyarakat tidak seharusnya leka dan alpa kerana wabak itu masih belum berakhir, selain bersedia memasuki fasa endemik untuk meneruskan kehidupan bersama kebiasaan baharu.

“Demi Keluarga Malaysia, kerajaan akan meneruskan usaha untuk melindungi nyawa dan kehidupan, di samping memberikan tumpuan kepada agenda untuk memulihkan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Belanjawan 2022 akan dibentangkan pada 29 Okt ini oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan memperincikan butiran program dan projek bagi melaksanakan strategi serta inisiatif di bawah RMK12 selain menyokong pencapaiannya.

“Saya optimis, dengan tanda-tanda pemulihan ekonomi pada masa ini serta agenda pembangunan negara dalam RMK12 dan inisiatif Bajet (Belanjawan) 2022 yang akan diumumkan sedikit masa lagi, kita mampu memacu negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat