Hanya ahli geologi berdaftar dibenarkan cari gali nadir bumi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-80 (MT80) bersetuju dengan keputusan-keputusan semasa Majlis Mineral Negara Ke-2 (MMN2) yang diadakan pada 8 Mei 2023 terutamanya melibatkan kelulusan secara prinsip Dokumen Prosedur Operasi Standard Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menegaskan, MT 80 juga bersetuju dengan cadangan syarat kelayakan penyediaan dan perakuan cari gali dan penjelajahan hanya oleh ahli geologi profesional berdaftar, ahli geologi asing berdaftar, pengamal berdaftar atau jurutera profesional dengan perakuan amalan.

“Industri Nadir Bumi akan terus dibangunkan sebagai salah satu bidang sumber pertumbuhan baharu di bawah High Growth, High Value (HGHV), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025.

“Ke arah itu, Dasar Mineral Negara baharu akan dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh dalam melaksanakan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan,” kata Pejabat Perdana Menteri pada Selasa.

Selain itu, pemetaan terperinci sumber unsur nadir bumi dan model perniagaan menyeluruh yang menggabungkan industri huluan, pertengahan dan hiliran akan dibangunkan bagi mengekalkan rantaian nilai nadir bumi di dalam negara.

“MTN80 juga bersetuju dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi dibangunkan bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber,” tegasnya.

Sementara itu, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai prestasi pendaftaran pindah milik tanah dalam masa satu hari di Pentadbiran Tanah Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia bagi tahun 2021 dan 2022.

“Secara umumnya, semua negeri telah memberikan komitmen untuk memastikan urus niaga tanah berjalan dengan sempurna.

“Pada tahun 2021 dan 2022, masing-masing mencatat purata prestasi melebihi 80 peratus iaitu pada tahap 93.86 peratus dan 90.08 peratus,” katanya.

Selain itu juga, menjelang Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim yang Ke-28 atau COP28 pada 30 November hingga 12 Disember 2023 di Dubai, Malaysia masih meneruskan komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan sebagai satu langkah adaptasi dan mitigasi bagi mengimbangkan kesan perubahan iklim.

“Komitmen Malaysia ini telah bermula sejak Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Jeneiro pada tahun 1992 bagi membantu melaksanakan komitmen ini.

“Kerajaan Persekutuan telah meningkatkan bayaran insentif Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada Pihak Berkuasa Negeri daripada RM70 juta kepada RM150 juta pada tahun 2023.

“Inisiatif in merupakan tambahan kepada peruntukan pembangunan di bawah RMKe-12,” katanya.

Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-80 (MTN80) ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan telah dihadiri Menteri-Menteri Besar, Ketua Menteri, Timbalan Premier Sarawak, Menteri-menteri serta ahli-ahli yang mewakili Kerajaan Persekutuan.

Mesyuarat Majlis Tanah Negara ini diadakan selaras dengan Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan iaitu membentuk dari semasa ke semasa, melalui konsultasi (rundingan) dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara, suatu dasar negara untuk memajukan serta mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi maksud perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain dan untuk mentadbirkan apa-apa undang-undang mengenainya.

“Sebanyak dua Kertas Pertimbangan dan tiga Kertas Makluman yang menjurus kepada pelaksanaan dasar dalam pentadbiran tanah secara konklusif telah dibentangkan semasa MTN80.

“MTN80 telah bersetuju dengan cadangan Dasar Pelupusan Tanah Bagi Kemudahan Penghantaran Elektrik Bervoltan Tinggi, Pencawang Masuk Utama (PMU) dan Pencawang Pembahagi Utama (PPU) di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Suatu dasar yang jelas akan memberi impak positif kepada pihak penyedia perkhidmatan serta Pihak Berkuasa Negeri (PB) dan rakyat bagi membolehkan akses kepada perkhidmatan tenaga elektrik yang meluas,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat