Sasar kawal harga ayam kurang RM10 sekilogram – Rosol

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan sistem subsidi yang dicadangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dijangka membolehkan harga ayam tidak melebihi RM10 sekilogram.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata pelaksanaan subsidi itu menjurus kepada mengawal harga makanan ayam, yang dilaporkan menjadi antara faktor kenaikan harga jualan ayam di pasaran.

Menerusi sistem subsidi yang dicadangkan itu, beliau berkata, kadar subsidi yang diberikan bergantung pada turun naik harga semasa jagung dan soya, yang menjadi komponen utama makanan ayam.

Selain itu, katanya, satu nilai ambang akan ditetapkan, di mana tiada subsidi akan diberikan jika harga makanan ayam menurun di bawah nilai ambang berkenaan.

“Cadangan kita ini adalah lebih kurang sama seperti yang dilaksanakan untuk minyak masak botol, di mana subsidi diberikan kepada penternak yang mengawal pasaran apabila ada kenaikan harga jagung dan soya (komponen makanan ayam).

“Kita menjangkakan pemberian subsidi pada makanan ayam akan membolehkan harga semasa ayam tidak naik.

“KPDNHEP menjangkakan menerusi pelaksanaan sistem subsidi ini, harga jualan ayam di pasaran ketika ini boleh dikekalkan antara RM8 hingga RM10 sekilogram,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan berkata, KPDNHEP bercadang melaksanakan sistem subsidi kepada pengusaha ladang ayam terbesar bagi mengawal kenaikan harga ayam di seluruh negara.

Katanya, subsidi harga itu akan diberikan kepada 20 pengusaha ladang ayam di tiga negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Perak, yang mengeluarkan 80 peratus bekalan ke seluruh negara.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, cadangan yang sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan itu dijangka mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

Ini kerana, katanya, proses merangka formula sistem subsidi yang sesuai perlu mengambil sedikit masa kerana kementerian perlu meneliti trend harga makanan ayam antara dua hingga tiga tahun lalu.

“Kita juga membandingkannya dengan harga sekarang dan jangkaan harga setahun akan datang, sama ada berlaku peningkatan atau penurunan, sebelum formula subsidi boleh dimuktamadkan.

“Kita juga akan tetapkan nilai ambang di mana tiada subsidi diberikan jika harga jagung dan soya menurun di bawah paras berkenaan, dan subsidi itu bertambah selaras peningkatan harga komoditi berkenaan,” katanya.

Ditanya saranan Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) supaya subsidi itu turut mengambil kira faktor lain yang mempengaruhi peningkatan harga ayam, Rosol berkata, buat masa ini, subsidi itu tertumpu pada harga makanan ayam.

“Ini kerana kebanyakan penternak maklumkan peningkatan harga ayam disebabkan harga makanannya, jadi dengan subsidi ini kita harap harganya tidak naik,” katanya.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,563FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat