SHAH ALAM – Kekuatan ekonomi negeri Selangor yang makin berkembang akan menjadi benteng utama untuk mengekang politik berasaskan sengketa dan perkauman yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Ahli Dewan Negeri Gombak Setia Muhammad Hilman Idham berkata masa depan negeri Selangor sebagai negeri yang menjadi enjin ekonomi utama negara tidak wajar dipertaruhkan dengan slogan politik yang sempit, ekstrem, berasaskan sentimen perkauman serta agama.
Kata beliau, Selangor merupakan bayangan Malaysia yang merangkumi pelbagai masyarakat, kaum dan agama serta memiliki struktur ekonomi yang kompleks yang menjadi tumpuan aktiviti indutri, perdagangan dan pelaburan.
“Menguruskan sebuah negeri majmuk dengan dinamika industri yang kompleks memerlukan kebijaksanaan tadbir urus, dasar politik yang stabil dan mapan serta keterbukaan ekonomi, bukanna retorik kebencian yang hanya memecah-belahkan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Dewan Negeri Selangor, semalam.
Muhammad Hilman berkata, rakyat negeri Selangor memerlukan kepimpinan yang tegas dan berprinsip, adil serta saksama selain mempunyai semangat nasionalisme yang meletakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi kepentingan politik parti.
“Melayu bukan musuh kita. Cina bukan musuh kita, India bukan musuh kita.
“Lihat sahaja ekonomi rakyat hari ini, peniaga kedai runcit kita bersaing dengan peniaga dari Acheh, tukang jahit kita bersaing dengan pekerja dari Bangladesh dan peniaga pasar borong bersaing dengan warga Myanmar, Rohingya dan Vietnam,” katanya.
Menurutnya, dalam keadaan rakyat berdepan dengan beban pelbagai kos sara hidup dan cabaran kehidupan, usaha memulakan sengketa antara kaum hanya akan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang perlu diselesaikan.
Beliau yakin dengan kekuatan ekonomi Selangor yang menujuk RM500 bilion mampu menjadi benteng dalam menghadapi gelombang sengketa dan perkauman.
“Kemakmuran yang dibina bersama akan memperkukuh keyakinan rakyat bahawa masa depan Selangor tidak perlu dibina atas rasa takut, kebencian atau permusuhan.
“Biarlah ada yang terus menjerit dan bermimpi dengan politik perpecahan. Sampai masanya rakyat akan menilai sendiri siapa yang benar-benar bekerja untuk masa depan dan siapa yang hanya bermain dengan sentimen untuk mendapatkan kuasa,” ujar Muhammad Hilman.
Beliau menyeru seluruh Ahli Dewan Negeri Selangor supaya tolak politik yang mengambil kesempatan daripada sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan.
“Retorik penyatuan ummah dan penyatuan Melayu tidak seharusnya dijadikan ala untuk menunggang bibit kebencian dan sentimen perkauman,” katanya.


