KUALA LUMPUR – Ada persoalan perlu dibangkitkan dalam soal pelaburan Tabung Haji (TH) sebanyak RM193.5 juta untuk 30 peratus dalam Putrajaya Perdana Berhad (PPB) iaitu mengapa pengurusan kanan TH meneruskan pelaburan berkenaan ketika beberapa tanda amaran sudah kelihatan?
Itu adalah persoalan yang dilontarkan oleh Ketua Penerangan Parti Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz di samping isu pelaburan berkenaan, iaitu mengapa pelaburan itu akhirnya rugi.
Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, penilaian awal TH bagi 30 peratus PPB hanya sekitar RM124 juta hingga RM155 juta, tetapi TH akhirnya membayar RM193.5 juta.
“Perlu difahami justifikasi mengapa TH membeli 30 peratus PPB daripada Cendana Destini pada RM193.5 juta, sedangkan Cendana Destini sebelum itu memeterai perjanjian untuk memperoleh 100 peratus PPB daripada Utama Banking Group (UBG) pada harga RM240 juta? TH membayar RM193.5 juta untuk hanya 30 peratus, iaitu kira-kira 81 peratus daripada harga RM240 juta yang dipersetujui untuk keseluruhan PPB.
“Apakah asas penilaian ini? Siapa yang mencadangkan dan meluluskan harga tersebut? Lebih serius, proses penilaian mendalam dilaporkan hanya dibuat selepas kelulusan diperoleh,” katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.
Tun Faisal berkata pada masa sama RM170 juta daripada SRC International disalurkan kepada anak syarikat PPB.
Menurut keterangan Datuk Rosman Abdullah di mahkamah, dia diberitahu oleh Jho Low bahawa RM170 juta itu merupakan pendahuluan bagi satu kontrak yang sedang dirunding, katanya.
“Menurut keterangan yang sama, RM27 juta dan RM5 juta daripada aliran tersebut dipindahkan ke akaun yang kemudiannya dikenal pasti sebagai milik Datuk Seri Najib Razak.
“Nama Jho Low pula timbul kerana menurut keterangan Rosman, Jho Low menunjukkan dirinya sebagai pihak yang mengawal PPB melalui UBG dan menjadi rujukan bagi keputusan penting ketika pengambilalihan Cendana Destini belum selesai,” jelasnya.
Beliau berkata persoalan yang perlu dirungkaikan ialah adakah pengurusan TH mengetahui perkara-perkara ini ketika pelaburan diluluskan? Jika tahu, mengapa transaksi diteruskan? Jika tidak tahu, mengapa proses penilaian mendalam gagal mengesannya?
Proses audit perlu menentukan mengapa TH membeli 30 peratus daripada Cendan Destini pada jumlah RM193.5 juta? Siapa mencadangkan dan meluluskan harga tersebut? dan mengapa penilaian awal hanya RM124 hingga RM155 juta?
Tambahnya lagi, mengapa penilaian mendalam tidak diselesaikan sebelum kelulusan? Siapa pemilik dan pihak yang mengawal PPB ketika transaksi?
“Adakah RM170 juta SRC diketahui dan dinilai oleh TH? Adakah ia memberi kesan kepada nilai saham PPB? Ke mana RM193.5 juta yang dibayar kepada Cendana Destini akhirnya mengalir? Adakah wang tersebut mempunyai kaitan dengan pembiayaan atau penyelesaian pengambilalihan PPB daripada UBG?,” katanya.
Tun Faisal menyatakan pelaburan tersebut akhirnya dirosot nilai sepenuhnya pada tahun 2024. Rakyat bukan mahu tahu mengapa TH rugi? Rakyat mahu tahu mengapa RM193.5 juta diluluskan, siapa yang mengesyorkan harga tersebut dan apakah maklumat yang diketahui pengurusan ketika membuat keputusan dan ke mana akhirnya wang itu mengalir?
“Persoalan-persoalan ini mungkin boleh dijawab dengan lebih jelas melalui audit forensik,” katanya.



