PKP: Kerajaan Perlu Arah Bank Beri Moratorium Automatik Bantu Rakyat – Ahmad Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – UMNO mendesak kerajaan segera mengarahkan bank agar memberikan moratorium secara automatik kepada rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan juga telah mengumumkan untuk melanjutkan tempoh PKP penuh selama dua minggu lagi sehingga 28 Jun ini.

Oleh itu, katanya, bank wajar memberikan moratorium itu tanpa sebarang caj tambahan kepada setiap rakyat yang memerlukan dan perniagaan dalam kesulitan akibat ‘total lockdown’.

“Bukan hanya untuk mereka yang hilang pekerjaan atau perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi. Mereka yang masih bekerja pun perlu diberi moratorium akibat pendapatan isi rumah terjejas.

“Akibat dipotong gaji oleh majikan atau pendapatan daripada aktiviti teksi dan e-hailing berkurangan, manakala perniagaan ‘essential’ yang dibenar beroperasi semasa PKP penuh, tetapi hasil merudum juga perlu diberi moratorium.

“Bukan juga bank sekadar menawarkan penangguhan bayaran pembiayaan yang bersifat ‘refinance’ kepada mereka. Adakah bank tidak ada keuntungan jika moratorium ini diberikan?,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP penuh yang dikenakan di seluruh negara dari 1 Jun hingga Isnin ni disambung lagi.

Beliau dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membentang dan mencadangkan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri semalam supaya PKP 3.0 dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi bermula 15 Jun ini.

Keputusan itu, katanya, dibuat selepas mengambil kira jumlah kes harian masih tinggi melebihi 5,000 sehari dengan purata kes baharu sehingga semalam ialah 6,871 kes.

Menurut Ahmad Zahid, pemberian moratorium sama sekali tidak akan menjejaskan bank, malah institusi kewangan itu ada kemampuan untuk berbuat demikian secara automatik.

Soal beliau, bank masih mencatat keuntungan berbilion ringgit pada waktu pandemik Covid-19, jadi, tidak ada alasan untuk institusi kewangan itu membisu dalam hal berkenaan moratorium.

“Bank, sila tolong rakyat. Apabila keadaan kembali stabil, rakyat jua tolong bank buat untung. Kerajaan pula jangan beri alasan tiada kuasa arah bank beri moratorium automatik yang menyeluruh.

“Kemudian kata ada kuasa untuk arah, tetapi perlu bayar pampasan kepada bank,” katanya.

Menurut beliau, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pernah menerangkan mengenai perkara itu baru-baru ini, namun timbul juga persoalan dakwaan kerajaan perlu bayar pampasan kepada bank jika arah beri moratorium automatik.

“Saya difahamkan, mengikut Seksyen 3 dan 5 Ordinan Darurat 2021 cuma menyebut kerajaan boleh memberi arahan pampasan. Perkataan ‘boleh’ bukan bermaksud ‘mesti’. Tidak pasti mengapa ada pihak cuba mengambarkan ia ‘wajib’.

“Persoalan seterusnya, kerajaan ada kuasa kompaun rakyat jika enggan bekerjasama dalam berdepan Covid-19, tetapi kerajaan tiada apa-apa kuasa jika bank enggan bekerjasama dalam mendepani wabak itu.

“Justeru, kita ulang desakan agar kerajaan arahkan bank segera beri moratorium automatik untuk satu tempoh yang munasabah kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat