RTM permudahkan proses bekalan kandungan 2023

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mengambil kira luahan persatuan seni berhubung tempoh masa sesi saringan perolehan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk siaran 2023 yang dianggap terlalu suntuk, kerajaan memberi jaminan proses permohonan dipermudahkan dengan memperkenalkan pelbagai langkah.

Memperincikan perkara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud, berkata antara kaedah yang akan dilaksanakan adalah dengan memendekkan tempoh penilaian dan menambah barisan panel penilai.

“Sebelum ini, proses penilaian perlu melalui 23 langkah sebelum surat setuju terima (SST) dikeluarkan. Ini mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.

“Bagaimanapun untuk sesi kali ini, kita akan cuba singkatkan proses itu kepada 11 langkah sahaja.

“Selain itu, bilangan panel penilai ditambah. Mereka merangkumi pelbagai golongan, termasuk pegawai kerajaan dan orang luar yang diketahui cukup berpengalaman dalam bidang ini,” katanya kepada BH Online.

Biarpun tugas itu mencabar berikutan jumlah pembekal kandungan semakin bertambah, namun, RTM yakin proses penilaian lancar menerusi kaedah diperkenalkan.

“Sambutan untuk sesi ini sangat menggalakkan. Ada lebih 1,000 pembekal kandungan menghadiri sesi taklimat hari ini (kelmarin).

“Bayangkan setiap pembekal menghantar dua kertas cadangan projek. Jadi, kita ada lebih 2,000 permohonan yang perlu dinilai.

“Itu baharu produk swasta baharu, belum masuk produk sambung siar. Apapun, kami di RTM sedaya upaya cuba membantu untuk mempermudahkan urusan pembekal kandungan,” katanya.

Che Roslan berkata, cadangan persatuan berhubung penambahbaikan sesi perolehan saringan ini sangat dialu-alukan.

“Namun, janganlah hanya tahu mengkritik sahaja. Sebelum ini, kita pernah mengadakan pertemuan dengan pihak persatuan seni. Kami ada meminta mereka kemukakan cadangan.

 

Che Roslan menjelaskan antara kaedah yang akan dilaksanakan adalah memendekkan tempoh penilaian dan menambah barisan panel penilai berhubung pembekalan kandungan bagi 2023. Foto FB Jabatan Penyiaran Malaysia
Che Roslan menjelaskan antara kaedah yang akan dilaksanakan adalah memendekkan tempoh penilaian dan menambah barisan panel penilai berhubung pembekalan kandungan bagi 2023. Foto FB Jabatan Penyiaran Malaysia

 

“Namun, hingga hari ini, kami tidak terima cadangan atau idea diharapkan,” katanya pada sesi taklimat bersama pembekal bagi perolehan pembekalan program televisyen (TV) tempatan (swasta baharu dan sambung siar) di Auditorium Perdana, Angkasapuri di ibu negara, kelmarin.

Che Roslan mengulas kenyataan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli yang mahu RTM mengkaji kaedah mempercepatkan sesi perolehan saringan yang didakwa semakin suntuk hingga memberi tekanan kepada pembekal kandungan seperti dilaporkan BH Online.

Dalam perkembangan berkaitan, Che Roslan memberitahu masalah kekurangan bajet menyebabkan sesi saringan perolehan hanya dibuat sekali sahaja, tahun ini.

“Biasanya sesi saringan perolehan dibuat awal tahun. Cuma tahun ini sahaja sesi ini dilaksanakan pada April. Ini berlaku disebabkan kita mengalami masalah kekurangan bajet.

“Ramai yang tidak tahu, sesi saringan perolehan hari ini (kelmarin) membabitkan pembekal kandungan dari tiga tahun sebelum ini.

“Pandemik COVID-19 menyebabkan projek mereka tertangguh. Malah, ada syarikat yang meminta agar tempoh dilanjutkan.

“Bagaimanapun, saya sudah pun berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung isu ini.

“Jika ada lebihan peruntukan dari mana-mana, kita akan adakan sesi ‘pitching’ kali kedua dan besar kemungkinan, sesi itu akan dianjurkan Julai ini,” katanya.

Ditanya adakah permohonan pembekal perlu melalui sesi penilaian ketat berikutan jumlah pembekal kandungan yang semakin ramai, Che Roslan berkata, syarat yang dikenakan masih sama.

“Setiap produk dihantar perlu menepati kriteria ditetapkan seperti mendaulatkan bahasa Melayu, bertepatan dengan prinsip Rukun Negara serta selari dengan gagasan kerajaan mempromosikan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Dua tahun pandemik melanda, ramai penggiat industri kreatif tidak boleh buat apa-apa. Ramai yang tertekan.

“Justeru, apabila industri kembali dibuka, banyak syarikat produksi kembali aktif dan saya bersyukur melihat ramai pembekal hadir hari ini (kelmarin).

“Itu menandakan mereka kembali untuk menyumbang kepada ekonomi negara serta mahu memulihkan semula industri kreatif yang paling teruk terjejas susulan pandemik COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, RTM mengiklankan peluang kepada penerbit mengemukakan Pelawaan Kertas Cadangan (RFP) untuk sesi pertama pada 20 April lalu bagi pembekalan program TV syarikat swasta tempatan.

Sesi kedua membabitkan tawaran RFP kepada pembekalan program TV luar negara dan dan produk siap tempatan yang akan dibuka antara 1 Jun hingga 21 Jun akan datang.

Sebanyak 14 kategori program TV ditawarkan bagi mengisi masa siaran menerusi lima rangkaian saluran RTM, iaitu TV1, TV2, TV Okey, Berita dan Sukan bagi tahun siaran 2023.

Antaranya drama, telefilem, majalah, dokumentari, animasi, travelog, bual bicara, sambung siri, realiti, sukan, candawara, cereka, muzikal dan terbuka.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat