Pengarah Ola Bola angkat kisah ibu, anak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sutradara digelar ‘Raja Filem Malaysia’ seperti dipetik organisasi media, South East Asian Globe, Chiu Keng Guan yang pernah menghasilkan karya pecah panggung seperti Ola Bola dan The Journey, kembali berkarya melalui kisah yang mengangkat pengorbanan wanita bergelar ibu.

Dalam menghasilkan naskhah terbarunya itu, Keng Guan mengkaji kisah di sebalik hubungan ibu dan anak sejak beberapa tahun lalu.

“Saya amat teruja untuk kembali beraksi menghasilkan filem tempatan.

Keng Guan mahu menghasilkan filem yang relevan dan dekat dengan masyarakat. Foto Ihsan Astro Shaw
Keng Guan mahu menghasilkan filem yang relevan dan dekat dengan masyarakat. Foto Ihsan Astro Shaw

 

“Saya mendapati banyak detik menarik serta menyentuh perasaan. Jadi, kali ini saya ingin menghasilkan sebuah filem yang relevan dan amat dekat dengan generasi dan masyarakat sekarang,” katanya.

Astro Shaw mengumumkan pengarah prolifik yang amat dikenali dengan sentuhan magis dalam genre drama dan kekeluargaan ini bakal muncul dengan filem tempatan terbaru selepas lima tahun mengukir nama di luar negara.

Filem diberi judul Ma, I Love You ini dijangka menemui penonton pada sambutan Tahun Baharu Cina pada 2023.

Apa yang menarik, Ma, I Love You ini memperlihatkan Keng Guan bakal mengangkat dan mempertaruhkan buat pertama kali subjek hubungan seorang ibu dan anaknya. Filem ini diharap mampu menyentuh perasaan penonton Malaysia sekali lagi dengan elemen kasih sayang ibu.

Keng Guan berharap filem ini mampu mengembalikan penonton ke pawagam untuk menikmati gelak tawa, kegembiraan dan detik berharga bersama keluarga dan rakan.

Filem Ma, I Love You yang diterbitkan Astro Shaw ini bakal menjalani sesi penggambaran September ini.

Dalam pengumumannya, Astro Shaw mencari bakat baharu untuk membintangi filem berkenaan. Pelakon dipilih adalah untuk watak utama lelaki dan wanita serta remaja dalam lingkungan usia 17 hingga 18 tahun.

Individu berminat perlu mematuhi syarat ditetapkan, termasuk menghasilkan dua video rakaman menceritakan pengalaman bersama ibu dan dimuat naik di YouTube.

Mereka perlu menghantar pautan kepada [email protected] sebelum 6 Jun ini.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berbesar hati dapat bekerjasama dengan Keng Guan sekali lagi.

“Sempena Hari Ibu, kami yakin ini adalah waktu sesuai untuk mengumumkan kehadiran filem Ma, I Love You yang mengangkat kisah pengorbanan seorang ibu yang akan menemui penonton di pawagam pada Tahun Baharu Cina 2023.

“Kami harap berita baik ini dapat menyuntik keterujaan penggemar filem tempatan untuk menyaksikan karya terbaik di layar perak,” katanya.

Pada 2016, Keng Guan menghasilkan Ola Bola yang mengukir kejayaan terbesar buat filem Malaysia dan membangkitkan semangat perpaduan yang sangat tinggi dan nilai patriotisme.

Bukan itu sahaja, filem The Journey yang dihasilkan Keng Guan pada 2014 menjadi filem pertama dalam sejarah perfileman Malaysia yang menembusi kutipan tertinggi kira-kira RM17.3 juta.

Keng Guan melebarkan sayapnya dengan mengarahkan filem antarabangsa yang mengangkat pengorbanan hubungan seorang ayah demi seorang anak, iaitu bertajuk On Your Mark di China hingga menduduki tempat pertama apabila ditayangkan di negara terbabit.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat