Muzik di Malaysia makin mundur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Daripada pemerhatian penyanyi malar segar, Datuk Zainal Abidin, 60, industri muzik tempatan semakin mundur.

Zainal meluahkan, muzik semakin hilang seni. Sebaliknya, bagi Zainal, apa yang tinggal sekadar bunyi apabila sesiapa sahaja yang memiliki wang dan kuasa boleh bergelar penyanyi.

Maka, tidak hairan, katanya, lagu zaman ini jarang bertahan menjadi lagu malar segar, sebaliknya diibarat ‘sampah’.

Sehubungan itu, Zainal hilang keinginan menerbitkan lagu atau produk baharu selepas kali terakhir tampil menerusi album Puteri pada 2004.

Menafikan didorong rasa kecewa, penyanyi yang pernah menggenggam trofi Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1994 melalui lagu Satu, iaitu duet bersama Allahyarham Tan Sri SM Salim, menjelaskan, ia lebih kepada rasa kasihan melihat industri muzik tempatan yang makin mundur.

“Sekarang, sesiapa sahaja boleh bergelar penyanyi. Lihatlah bagaimana pengusaha produk kecantikan berlumba-lumba menghasilkan lagu walaupun tidak berbakat sebagai penyanyi.

“Ini hanya menyebabkan muzik semakin kurang nilai seni dan disebabkan itu, lagu baharu jarang bertahan lama.

Zainal melihat industri muzik di Malaysia melalui transisi berbeza malah masyarakat lebih mengangkat humor dalam pelbagai bentuk kandungan. Foto IG Zainal Abidin
Zainal melihat industri muzik di Malaysia melalui transisi berbeza malah masyarakat lebih mengangkat humor dalam pelbagai bentuk kandungan. Foto IG Zainal Abidin

“Dalam hal ini, media elektronik yang perlu memainkan peranan penting. Jangan sogokkan pendengar dan penonton dengan bahan murahan yang tidak membawa kepada kemajuan sebaliknya kelekaan semata-mata,” katanya kepada BH Online.

Zainal berkata, apa yang disajikan kepada masyarakat dilihat tidak ubah seperti katak di bawah tempurung.

“Masyarakat terlalu gemarkan bahan lawak. Kalau boleh, semua benda hendak dikaitkan dengan lawak.

“Itu yang sering diulang stesen televisyen (TV) sedangkan kami membayar bil setiap bulan bukan untuk menonton benda yang sama berulang-kali,” katanya.

Menurut Zainal lagi, industri muzik mengalami transisi berbeza. Kini, kempen atau promosi yang ingin dijayakan memerlukan belanja besar berikutan media elektronik lebih memberi keutamaan kepada penyanyi muda, khususnya yang bernaung di bawah bumbung sama dengan stesen radio.

Sebaliknya, dakwa Zainal, penyanyi yang bergerak atas kapasiti sendiri seperti dirinya, kurang diberi peluang lebih-lebih lagi selepas memasuki kategori veteran.

“Dahulu saya tidak berdepan kesukaran seperti sekarang. Jika dahulu, keluarlah apa saja produk, pasti mendapat sokongan media cetak dan elektronik.

“Tetapi sekarang semuanya perlu modal. Hendak mendapatkan slot di stesen radio pun agak sukar dan memerlukan modal.

“Modal yang dikeluarkan mungkin lebih banyak berbanding kos menghasilkan lagu. Ditambah dengan keadaan sekarang di mana jualan album secara fizikal tidak serancak dahulu.

“Kalau menghasilkan album sekalipun, berapa banyak album yang boleh dijual? Daripada menanggung rugi, lebih baik tidak mengeluarkan produk baharu,” katanya.

Vokalis kumpulan yang popular era 1980-an, Headwind itu bernasib baik kerana beringat dan membuat tabungan. Biarpun tidak mempunyai produk baharu, Zainal bersyukur masih menerima banyak undangan menjayakan persembahan untuk majlis korporat.

“Nasib baik saya beringat. Tetapi bagaimana dengan nasib rakan-rakan yang mencari makan di kelab malam yang tidak dibenarkan beroperasi?” katanya.

Zainal tidak menafikan dirinya terkesan apabila banyak undangan persembahan dibatalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, mujur beliau mengusahakan perniagaan.

“Apa yang dikesali lagi, insan seni seperti kami seolah-olah tidak penting di mata masyarakat. Saya merasakan bakat lebih dihargai di luar negara seperti Indonesia, Singapura dan tempat lain,” katanya.

Sementara itu, mengenai aktiviti bersama Headwind, Zainal berkata, mereka tidak merancang mengadakan konsert reunion seperti dilakukan kumpulan lain.

Sehingga hari ini, mereka masih aktif menerima undangan menjayakan persembahan di kelab seperti di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang, tahun lalu. Headwind turut diundang menjayakan konsert The Musical Journey of Zainal Abidin – 35th Anniversary Concert Featuring Headwind di Singapura, awal tahun lalu.

Berita harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat