Tidak berlaku kekosongan luar jangka DUN Selat Klang – Speaker DUN Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM – Tidak berlaku kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang yang disandang Datuk Abdul Rashid Asari, kata Speaker DUN Selangor Lau Weng San.

Beliau berkata tiada bukti mencukupi untuk mengesahkan kekosongan luar jangka berkenaan.

Lau berkata notis dibawa Ketua Pembangkang DUN Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertarikh 20 Jun yang diterima pejabat Speaker tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan.

“Pemberhentian Yang Berhormat (YB) Selat Klang dalam Bersatu didapati satu pemecatan terancang di bawah operasi Perkara 65A (2)(c) Perlembagaan Negeri Selangor. Notis dan bukti dari YB Hulu Kelang (Mohamed Azmin) tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya.

“Intihanya, selamat untuk disimpulkan atas skala pertimbangan kebarangkalian bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka,” katanya ketika sidang DUN Selangor hari ini.

Pada 6 Mac lepas, Abdul Rashid mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi DUN Selat Klang kepada Speaker DUN.

Mengulas lanjut, Lau berkata mana-mana Ahli Dewan boleh memberitahu Speaker DUN tentang kekosongan luar jangka seseorang Ahli Dewan yang lain dan Speaker berhak menyiasat lebih lanjut dengan ADUN berkenaan sebelum keputusan dibuat.

“Jika Speaker sejurus penerimaan notis bertulis terus mengumumkan kekosongan luar jangka tanpa melakukan apa-apa usaha wajar untuk mengesahkan, menyiasat atau menanyakan peristiwa tersebut, maka akan berlaku banyak kekosongan luar jangka yang tidak tersangka dari semasa ke semasa.

“Saya percaya, ini bukan dan tidak pernah menjadi niat perundangan dalam meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri ini. Oleh demikian, perlu saya menjelaskan bahawa fungsi Speaker menurut perlembagaan adalah untuk menyiasat terlebih dahulu setelah menerima notis itu,” katanya.

Mohamed Azmin yang mewakili ADUN PN dalam sidang media di Lobi Wisma Dewan Selangor selepas itu menzahirkan kekesalan berhubung keputusan berkenaan dan akan meneliti perkara tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk dari segi undang-undang.

Sidang DUN Selangor ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat