Guna semula formula kewangan waktu krisis 1997-1998 -Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan untuk mengguna pakai semula formula kewangan yang dipraktiskan beliau sewaktu Malaysia berdepan krisis mata wang 1997-1998.

Pun begitu, bekas Perdana Menteri mengakui ‘takut’ pandangan yang disuarakan beliau akan diketawakan pakar kewangan.

“Saya takut memberi pandangan saya terhadap nilai Ringgit kerana saya akan diketawakan pakar kewangan.

“Tetapi walaupun saya akan diketawa orang, saya memberanikan diri memberi pendapat saya berkenaan duit Ringgit kita yang naik turun nilainya.

“Pendapat saya didapati semasa menangani krisis mata wang pada 1997-1998. Walaupun tindakan Malaysia dikecam hebat tetapi ia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai Ringgit dan kewangan kita dipulih semula,” catat beliau di blognya pada Rabu.

Kata beliau, akhirnya pihak IMF dan World Bank mengakui bahawa tindakan Malaysia berjaya menghentikan ketidaktentuan nilai Ringgit dan kemiskinan yang berlaku kerananya.

Untuk rekod Dr Mahathir telah memperkenalkan kawalan “modal”.

Pada 1998, pengeluaran di pelbagai sektor menurun iaitu sektor pembinaan menyusut sebanyak 23.5 peratus, pengeluaran menyusut 9 peratus dan pertanian 5.9 peratus.

Ketika itu keseluruhan GDP negara menurun sebanyak 6.2 peratus pada tahun 1998. Tetapi Malaysia merupakan negara terpantas pulih daripada krisis ini dengan menolak bantuan IMF.

Hal demikian, Dr Mahathir berkata, semua orang sedar bahawa bank dibenar memberi pinjam duit yang tidak ada pada mereka.

“Syaratnya apabila hutang dibayar, jumlah wang itu dijadikan sebahagian dari aset bank. Dan berhaklah bank memberi pinjam duit yang telah menjadi aset hari ini. Benar atau tidak pakar boleh godam saya.

“Demikian juga dengan peniaga mata wang. Mereka boleh beri pinjam atau jual duit yang tidak ada pada mereka. Pinjaman atau penjualan ini menjadi sah apabila duit ini disampaikan kepada peminjam atau pembeli kemudian,” ujarnya.

Beliau memberitahu tetapi penjualan Ringgit oleh mereka menyebabkan pasar kewangan dipenuhi dengan Ringgit.

Jelasnya, mengikut teori supply and demand, apabila supply bercambah, permintaan akan berkurangan. Apabila tidak ada demand untuk Ringgit, nilai Ringgit akan jatuh.

“Apabila nilai Ringgit jatuh permintaan akan meningkat. Peniaga mata wang akan beli Ringgit yang sudah jatuh nilai dan akan deliver kepada pembeli yang telah beli Ringgit pada nilai yang tinggi sebelum jatuh nilainya.

“Maka beruntunglah peniaga kerana menjual Ringgit di masa nilainya tinggi dan membekal kemudian dengan Ringgit yang dibeli semasa nilainya rendah.

“Malangnya, apabila nilai Ringgit jatuh, pihak yang pinjam atau peniaga akan rugi. Mereka perlu bayar dengan lebih banyak Ringgit yang sudah jatuh nilai. Katakanlah mereka pinjam RM1,000 diwaktu nilainya tinggi, apabila nilai jatuh 50 peratus, mereka mesti bayar hutang atau harga belian asal dengan RM2,000. Maka rugilah peminjam atau peniaga, sementara peniaga mata wang untung RM1,000 kerana di waktu pinjam RM1000 cukup untuk kos tetapi di waktu nilai Ringgit jatuh 50 peratus lebih banyak Ringgit diperlukan,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, inilah yang berlaku pada 1997-1998 diwaktu mana nilai Ringgit jatuh kerana peniaga mata wang menjual banyak Ringgit yang bukan pun dimiliki oleh mereka.

“Harapan mereka ialah apabila nilai Ringgit jatuh, mereka boleh beli Ringgit murah ini untuk dibekal kepada pembeli asal.

“Apabila kita tetapkan nilai Ringgit pada RM3.80 satu Dollar U.S., dan kita jamin bekalan U.S. Dollar kepada sesiapa yang sanggup membayar RM3.80 untuk 1 Dollar U.S. maka nilai Ringgit tidak lagi akan turun naik. Dan peniaga mata wang pun tidak dapat turunkan nilai Ringgit dengan menjual Ringgit dengan banyaknya untuk jatuhkan nilainya.

“Sebaliknya jika peminjam hutang Dollar dan nilai Dollar naik, lebih banyak Ringgit diperlukan untuk membayar hutang satu Dollar. Ini merugikan peminjam dan menguntungkan peniaga mata wang.

“Sekarang kita lihat nilai Ringgit naik turun kerana nilainya tidak ditetap dan dijamin oleh Kerajaan. Dagangan Malaysia melonjak naik yang mana ini menyumbang kepada ekonomi negara. Tetapi di masa wabak Covid-19 nilai Ringgit tidak stabil. Ada masa ia naik dan ada masa ia menurun,” jelas beliau.

Dr Mahathir berkata, bagi peniaga yang import bahan dengan Dollar America atau meminjam Dollar America, jatuhnya nilai Ringgit berbanding Dollar Amerika meningkatkan Ringgit kos pengeluaran dan harga pasar produk. Kerana kenaikan ini harga baru jualan perlu ambil kira nilai Ringgit berbanding dengan Dollar Amerika.

“Tetapi jangan cakap berkenaan fixed exchange rate. Ini taboo, haram.

“Ya. Pada 1997-1998 fixed exchange rate selamatkan kita. Tetapi itu kerana orang politik tidak faham sistem kewangan. Jangan ikut mereka,” bidasnya.

Pada 1 September 1998, Malaysia telah melaksanakan kawalan modal dengan mengehadkan pembelian aset-aset kewangan di Malaysia.

Simpanan Ringgit yang berada diluar negara pula dibekukan untuk mengelak spekulasi berpanjangan.

Pada 2 September, nilai matawang Ringgit telah ditambat kepada RM3.80 untuk setiap dolar Amerika.

Pada masa yang sama, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula telah dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri sekali gus menambahkan lagi krisis di dalam negara.

Pada 12 September, Bank Negara mengeluarkan kenyataan bahawa wang not RM500 dan RM1,000 tidak akan sah digunakan untuk urusan bermula 1 Julai 1999 dan menyarankan pemegang not ini untuk menukar atau mendepositkan segera wang tersebut ke dalam akaun bank. Orang ramai juga tidak dibenarkan untuk membawa keluar lebih dari RM1,000 daripada Malaysia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat