Tak Semua Boleh Guna Khidmat Polis Pengiring, Perlu Dapat Kelulusan IGP

KUALA LUMPUR- Senarai individu berhak menerima kemudahan pengiring bermotosikal perlu mendapat kelulusan daripada Ketua Polis Negara terlebih dahulu,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Tegas beliau, individu yang tidak ada dalam senarai berhak menerima fasiliti pengiring bermotosikal tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan itu.

“Jika ada kesalahan dilakukan oleh anggota (polis trafik) kita akan ambil tindakan dan buat waktu ini (kes di Pulau Pinang) kita sedang jalankan siasatan dalaman dan akan umumkan sehari dua lagi.

“Bagi orang yang menerima kemudahan itu jika dikesan ada melakukan mana-mana kesalahan kerana melanggar undang-undang dalam negara, kita akan siasat,” katanya memetik Harian Metro pada Rabu.

Mengulas prosedur operasi standard (SOP) pengiring bermotosikal, Hamzah berkata, SOP sedia ada sudah jelas dan tidak memerlukan SOP yang baharu.

“Kita juga sudah menjawab isu ini di Parlimen, jadi tidak timbul masalah ini. Jika berlaku kesalahan, ia masalah individu yang menggunakan kemudahan yang tidak patut digunakan,” katanya.

Sabtu lalu tular klip video di Facebook yang kelihatan dua anggota polis trafik mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu seorang anak Ahli Parlimen, hingga membangkitkan reaksi kurang senang orang ramai.

Kejadian dipercayai berlaku di Pulau Pinang dengan dua anggota polis terbabit dalam siasatan tatatertib dan ditempatkan di bahagian pentadbiran sehingga siasatan selesai.