KUALA LUMPUR – “Jika UMNO menang di Johor, mereka akan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dapat diadakan dan lazimnya yang bakal diangkat menjadi Perdana Menteri adalah Presiden parti,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dalam hantaran di Facebooknya menulis kenyataan bertajuk “Siapa Pengkhianat?” yang antara lain menggambarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal membuka jalan ke arah PRU-15 dan pada akhirnya Kluster Mahkamah akan kembali menguasai tampuk pemerintahan negara.

“Mereka (UMNO) memilih Johor kerana Johor dikatakan negeri kubu kuat UMNO. Jika parti mereka menang PRN Johor, mereka akan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum pula dapat diadakan.

” Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah Perdana Menteri tetapi yang menguasai UMNO adalah Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi). Apabila Parlimen dibubarkan, yang berkuasa menentukan calon yang akan bertanding dan mengetuai parti dalam pilihan raya adalah Presiden, bukan Perdana Menteri.

“Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi Perdana Menteri adalah Presiden parti,” jelas Muhyiddin.

Presiden Bersatu itu juga mengandaikan, jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan Kluster Mahkamah.

Kata Muhyiddin, mereka akan kembali berkuasa.

“…dan selesailah masalah mereka, na’uzubillah. Jadi siapa sebenarnya pengkhianat? Saya atau mereka?

“Sebagai orang Johor, saya percaya pengundi di negeri Johor adalah bijaksana. Saya tidak fikir Bangsa Johor yang beradab, berhemah dan tinggi nilai moral dan agamanya rela membiarkan PRN Johor digunakan sebagai alat untuk Kluster Mahkamah dan kleptokrat kembali berkuasa.

” Hanya satu cara untuk mengalahkan Kluster Mahkamah iaitu dengan memastikan BN kalah dalam PRN Johor,” seru Muhyiddin.